Berita

Perlis laksana laungan “takbir muqayyad” di masjid seluruh negeri

Perlis mula melaksanakan laungan “takbir muqayyad” di masjid-masjid seluruh negeri ini bermula Subuh pagi tadi, isnin 19 Julai 2021 bagi menghidupkan amalan sunnah Baginda Nabi SAW.

Amalan berkenaan dilaksanakan selepas solat fardu 5 waktu selama 5 hari bermula Subuh pada 9 Zulhijjah sehingga solat Asar 13 Zulhijjah bersamaan 23 Julai ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat kepada Ramadiah binti Dak, 39, di Kariah Bukit Keteri sempena Program MAIPs Peduli Kali ke 32 bagi tahun 2021.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pegawai Penyelaras Zakat MAIPs Zon Timur, Syed Alwi Syed Aziz.

Di kesempatan ini, baginda turut menyempurnakan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kepada seluruh rakyat yang baginda kasihi, agar sentiasa bersatu hati dalam memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19. Baginda dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha’ kepada semua.

Titah Tuanku Raja Muda lagi, sesungguhnya pengorbanan yang dicontohkan oleh Baginda Nabi Ibrahim Alaihissalam dan keluarga Baginda telah meninggalkan suri tauladan kepada kita.

Baginda turut bertitah agar seluruh rakyat sentiasa mengamalkan norma baharu dengan penuh semangat pengorbanan dan perjuangan, demi memastikan negeri Perlis segera beralih kepada fasa 3 Pelan Pemulihan Negera (PPN).

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra dijangka berangkat mengiringi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menunaikan Solat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Kariah Kota Raja Arau dengan pematuhan SOP yang akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada jam 8 pagi esok.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button