Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis sedang meneliti cadangan bagi membenarkan tanah rizab Melayu boleh dipajak selama tempoh maksimum 60 tahun bagi menarik pelabur.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pajakan ini khusus kepada bukan Melayu atau syarikat-syarikat yang ingin melabur bagi membangunkan tanah rizab Melayu dengan Kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.
Beliau berkata, setelah tamatnya tempoh pajakan, tanah tersebut akan kembali kepada pegangan rizab Melayu melalui tetapan di dalam sekatan kepentingan.
“Ini bermaksud, tanah ini masih di dalam pegangan Melayu dan akan kekal dalam pegangan Melayu selamanya,” katanya ketika menjawap soalan Haziq Asyraf Dun (PAS – Beseri) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.
Di samping itu Mohd Shukri berkata, cara ini juga dapat mengekalkan tanah yang diganti melalui kaedah “swapping” serta meningkatkan peratusan pemilikan tanah rizab Melayu di masa hadapan.
Beliau berkata, cadangan ini dilihat akan memberikan impak pembangunan positif.
Sekaligus katanya, ia akan dapat memastikan Perlis sebagai destinasi tumpuan para pelabur luar negeri dan syarikat ternama terutamanya di tanah rizab Melayu yang sering menghadapi isu berbangkit bagi pembangunan baharu di Perlis. – SM