Perlis bersedia terima pelancong sempena tahun melawat Malaysia 2020
Pelbagai aktiviti menarik mengamit kehadiran para pengunjung dari dalam dan luar negara sepertimana dalam senarai ‘Kalendar Acara Pelancongan Negeri Perlis bagi tahun 2020’.
‘Pesta Angin Timur Perlis 2020’ dari 28 Februari hingga 1 Mac 2020 akan menjadi pembuka tirai program pelancongan utama di negeri ini bagi suku pertama.
Suku kedua pula akan menyaksikan ‘Perlis Marathon’ diadakan pada 4 April 2020, ‘Ragbi Perlis Royal 7s’ pada 18 dan 19 April 2020 serta ‘Kejohanan Badminton Kebangsaan Junior’ juga dalam bulan Jun 2020.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat melancarkan kempen ‘Promosi Masakan Perlis’ sempena lawatan ‘Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2018/9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ ke ibunegara Georgia yang diadakan di Hotel Marriott Tiblisi, Georgia baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Eksekutif Chef hotel berprestij berkenaan iaitu Ciaran Gantly yang berasal dari Galway, Ireland serta Konsul Kehormat Malaysia di negara berkenaan, Jemal Inaishvili.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir ke majlis anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama pihak hotel berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan BMC Travel Sdn Bhd ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Dr. Ts. R. Badlishah Ahmad dan Pengurus Besar BMC Travel Sdn Bhd, Philip Fang.
Program promosi masakan dari negeri Perlis pada kali ini memaparkan suatu kelainan apabila salah seorang pegawai pengiring dari UniMAP iaitu Noora Yusoff beserta lima pelajar memasak sendiri menyediakan hidangan yang sungguh enak seperti Laksa ‘Kola Perlih’, Pulut Mempelam ‘Bukit Bintang’, Ikan Perkasam ‘Timah Tasoh’, Ikan Talang masak lemak cili padi ‘Kuala Sungai Baru’, Rebung Lemak ‘Tasik Melati’ dan teristimewa sekali Kurma Daging ‘Arau’.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP turut menambah bahawa suku ke-tiga tahun hadapan akan lebih rancak dengan pelbagai penganjuran bersempena “Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke 77 Pada 17 Julai 2020” dan juga bagi meraikan ‘20 Tahun yakni Dua Dekad Pemerintahan Baginda sebagai Tuanku Raja Perlis”. Antara program yang sudah diatur adalah ‘Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis 2020 dari 24-30 Julai 2020 serta ‘Perlis Endurance 100km Run 2020’ pada 14-16 Ogos 2020,
Turut akan dilaksanakan pada tarikh-tarikh yang akan diumumkan kemudian ialah ‘Malam Kilauan Cahaya Tahunan di Dataran Istiadat Istana Arau’, ‘Kejohanan AAM Cub Prix’ pada minggu kedua Julai 2020), ‘Hari Peladang Penternak dan Nelayan Negeri Perlis’ serta ‘Pesta Air Kuala Perlis 2020’.
Suku terakhir pula akan melabuhkan tirai dengan ‘Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra’, ‘Kejohanan Rugby Kangar 10s’ pada 5 dan 5 Disember 2020 serta ‘Kejohanan Badminton Kebangsaan bawah 21’ dari 9 hingga 13 Disember 2020.