Perlis benarkan aktiviti sukan woodball
Aktiviti sukan woodball kembali dibenarkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) – Fasa 2 di negeri Perlis.
Di bawah peruntukkan PPN – SOP Fasa 2, beberapa aktiviti sukan, riadah dan rekreasi telah diberi kelonggaran serta kebenaran untuk dilaksanakan, termasuklah sukan woodball.
Para pemain woodball di negeri ini mula aktif kembali bermain selepas hari raya aidiladha baru-baru ini dengan mematuhi segala SOP ketat bagi Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuatkuasa seperti menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter serta pematuhan kepada 50% kapasiti penggunaan atau kawasan.
“Pada masa yang sama pemakaian pelitup separuh muka berganda, imbasan pada MySejahtera atau buku pendaftaran, pengambilan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sebagainya adalah diwajibkan”.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), Zaharin Haris dalam sesi taklimat khas secara digital kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis.
Sukan woodball adalah sejenis sukan yang dimainkan secara individu yang bercirikan ala sukan golf. Ia dimainkan di lapangan secara terbuka di mana pengelakan sentuhan dan penjarakan fizikal dapat diamalkan tanpa sebarang masalah. Di negeri Perlis ini terdapat lebih daripada 1,000 orang pemain dan semakin popular dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira jantina dan usia.
Menurut Zaharin lagi, “Kelonggaran dan kebenaran bermain woodball ini memberi peluang kepada ahli-ahli serta peminat sukan berkenaan untuk bermain dan berlatih di semua lapan laman woodball yang terdapat di negeri ini jika dibenarkan oleh jabatan yang memilikinya sebagai satu riadah dan latihan serta meningkatkan kesihatan diri semasa tempoh PPN – SOP Fasa 2 ini dilaksanakan”.
“Tumpuan bermain dan beriadah banyak difokuskan di Laman Woodball Dataran Dato Sheikh Ahmad Kangar memandangkan laman woodball tersebut merupakan padang terbuka dan boleh dimainkan oleh orang awam, namun pihak Persatuan Woodball sentiasa turun memantau keadaan di padang bagi memastikan semua peraturan dan SOP dipatuhi sepanjang masa”, kata Zaharin.
Tambah beliau, “Walaupun begitu, buat masa ini Persatuan Woodball dan mana-mana organisasi tidak dibenarkan sama sekali untuk menganjurkan sebarang kejohanan mahupun apa-apa pertandingan. Pertandingan-pertandingan yang sedang ditangguhkan pada ketika ini akan disambung semula apabila dibenarkan kelak”.
Untuk rekod, Perlis sepatutnya menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-9 (WCWC) 2020 pada 24 hingga 30 Julai tahun lalu dan di tunda ke tahun ini pada tarikh yang sama iaitu bagi dipertandingkan pada sepanjang minggu ini. Namun, Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF) telah terpaksa memutuskan untuk menangguhkan kejohanan ini sekali lagi ke tarikh baharu yang dijangka pada tahun hadapan akibat Covid-19 yang masih melanda dunia.
GALERI ARKIB