Berita

Dua PPV di Labuan tutup, tiada lagi penerima vaksin

Dua pusat pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Foo Chow, Kampung Sungai Keling dan Dewan Taman Perumahan Mutiara Blok L, di Labuan akan ditutup bermula Isnin ini, 2 Ogos ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata mereka memutuskan untuk menutup dua pusat itu memandangkan hampir kesemua yang layak mendapat suntikan vaksin di Labuan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah divaksin.

“Sehingga semalam (30 Julai), Labuan telah memberi suntikan vaksin kepada 56,943 penduduk atau 83.13 peratus daripada 68,500 penduduk dewasanya,” katanya lapor Agenda Daily.

Memetik Bernama, beliau berkata sekurang-kurangnya 97.48 peratus atau 66,773 penduduk daripada 68,500 penduduk dewasa di negeri itu telah menerima dos pertama vaksin.

Rithuan berkata dengan penutupan dua PPV itu, pemberian vaksin akan tertumpu di Kolej Matrikulasi Labuan (secara jumpa terus), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (pandu lalu), Kompleks Darul Kifayah, Dewan Sri Labuan Jabatan Kerja Raya dan Klinik Kesihatan Membedai.

“PPV di Terminal Feri Antarabangsa Labuan akan berfungsi sebagai vaksinasi bergerak kepada pekerja sektor perkapalan, minyak dan gas, yang beroperasi berdasarkan panggilan apabila diperlukan,” katanya.

Pada 27 Julai lepas, Labuan telah selesai memvaksinasi penuh 80 peratus penduduk dewasa, menjadikannya negeri yang pertama dalam Wilayah Persekutuan dan di negara ini, mencapai komuniti kelompok Covid-19.

Kadar kebolehjangkitan (R-Naught) di Labuan juga berada di bawah 1.0 sejak dua minggu lepas dan hanya tujuh kes sehingga semalam, bermakna jumlah kes terus menurun.

Sembilan kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Labuan sebanyak 9,661.

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button