Alam Sekitar

Perjanjian dengan NCA bagi hasil RM1 bilion, kata Kitingan

KOTA KINABALU: Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) tidak melibatkan penjualan atau aset cagaran tanah hutan seperti yang didakwa pemimpin politik pembangkang, kata timbalan ketua menteri Sabah Jeffrey Kitingan hari ini.

Kitingan, yang juga menteri pertanian dan perikanan negeri, berkata NCA adalah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon yang akan memanfaatkan pemuliharaan hutan dan memberi hasil kepada kerajaan Sabah untuk membangunkan negeri itu.

“NCA akan melindungi hutan kita dan menjana pendapatan tanpa menebang satu pokok pun, dan tidak perlu dibawa dan dibentangkan di dewan undangan negeri kerana kita sudah ada perundangan dan keputusan mengenai perkara ini di bawah kerajaan negeri.

“Buat masa ini, terdapat hasil hutan sebanyak RM110 juta tetapi hutan musnah akibat pembalakan. Daripada menebang kayu bernilai RM110 juta, jika kita perhatikan NCA, kita boleh mendapat lebih RM1 bilion. Oleh itu, mana yang lebih baik?” katanya dalam rakaman video hari ini.

Presiden Warisan Shafie Apdal, ketua pembangkang negeri, baru-baru ini mendakwa bahawa NCA telah menyebabkan dua juta hektar hutan di Sabah “diserahkan” kepada sebuah syarikat asing yang berpangkalan di Singapura.

Perdagangan kredit karbon ialah sistem berasaskan pasaran yang direka untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global, terutamanya karbon dioksida, dengan mewujudkan insentif kewangan untuk berbuat demikian.

Kitingan berkata hutan di Sabah dilindungi di bawah Enakmen Hutan 1968 dengan pemantauan ketat oleh jabatan perhutanan Sabah. Tiada apa-apa yang boleh membenarkan hutan negeri dimusnahkan sewenang-wenangnya.

“Ada perancangan supaya orang asli kita mendapat manfaat termasuk penduduk kampung yang mempunyai tanah. Kita akan daftarkan mereka supaya mereka dapat menikmati program NCA ini juga,” katanya.

Beliau menggesa pemimpin politik berhenti menggunakan isu NCA untuk mendapatkan sokongan dengan menyebarkan maklumat tidak benar, dan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan Sabah.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button