Politik

‘Periuk nasi rakyat’ hambat 2020

Analisis

TINGGAL sehari sahaja lagi esok rakyat Malaysia akan memasuki Tahun Baru 2020.

Diakui ‘agak banyak juga’ pencapaian kerajaan dalam tempoh pentadbiran setahun tujuh bulan ini. Cuma tidak nampak dek kelemahan promosi jentera penerangan kerajaan, biarpun subjek teras-teras manifesto belum dapat diperakukan lagi.

Untuk membanteras penyelewengan kuasa dan rasuah, janji-janji itu kelihatan dilakukan dengan menghadapkan ke muka pengadilan pihak yang mencuri duit negara menerusi 1MDB. Juga bagaimana harta Jho Low disita melalui kapal layar mewah milik ahli perniagaan kontroversi itu, Equanimity.

Tetapi rakyat sedang menilai hasil keputusan mahkamah, yang belum pasti apa kesudahannya.

Demikianlah jua beberapa pembaharuan ke arah memberi Parlimen kuasa yang lebih substantif dalam mentadbir jabatan perkhidmatan awam dari mula.

TADBIR HARGA BARANG, TURUN NAIK MINYAK

Tetapi yang cukup pasti dalam benak fikiran Suara Merdeka adalah rakyat sekarang lebih teruja dengan tumpuan mereka kepada soal periuk nasi. Yang boleh diungkapkan dalam isu ini dalam susunan idealisme yang lebih tinggi dalam urusan pentadbiran negara.

Rakyat mahu melihat kebolehan kerajaan untuk mentadbir harga barang, turun harga minyak serta membasmi tol secara berperingkat-peringkat – semua ini agak perlahan sedikit. Minyak tak naik, turun pun tidak -masih tergantung.

UEC ‘GEGAR’ KPM

Selain itu, soal pendidikan kecoh sedikit. Pendidikan negara semacam tidak terkendali dengan baik disebabkan kecenderungan menterinya lebih ‘bersimpati’ dengan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC). Dasar-dasar penting pelajaran di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) macam `tak nampak’. Tambahan lagi, disatukan pula pengajian tinggi dan pendidikan rendah, kelihatannya ramai tidak konfiden.

Pada masa sama, soal rule of law (Kedaulatan Undang-Undang) atau pentadbiran undang-undang negara semakin meningkat. Ini petanda yang bagus. Polis Diraja Malaysia (PDRM) pamerkan kepantasan bertindak. Di samping itu jabatan kerajaan tidak lagi disertai pengamal politik. Macam duta-duta Kementerian Luar terdahulu yang dikatakan `dikacau’ elemen politik, kini tidak lagi.

KEPENTINGAN MELAYU DIKETEPI?

Begitupun tanggapan kuat berlegar mengatakan kepentingan orang Melayu khasnya agak lemah ditadbir dalam tempoh sejak 9 Mei 2018 ini. Susunan kepentingan orang Melayu yang dahulunya dikait sama Islam banyak hendak dihuraikan semula dan tidak sampai keteguhan buatnya. Adakah kemungkinan barangkali DAP dan PKR lebih kuat dari parti Bersatu dan Amanah sehingga lebih mencorakkan dentuman sekarang?

Lantikan-lantikan yang dahulunya secara tradisional diisi orang Melayu, sekarang dimuatkan bukan Melayu. Senario ini tidak semestinya tidak baik.

KEMALAYSIAAN?

Ada baiknya juga kerana terdapat jurang melebar kemasukan kalangan bukan Melayu yang belum mencapai 30 peratus. Sewaktu pentadbiran Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak, bukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan antara 30 ke 35 peratus. Sekarang, tak lebih lima peratus pun. Dan ini mungkin menjadi perhatian kerajaan PH yang agak terarah ke arah keMalaysiaan.

Walaupun ada baiknya trend ini, PH perlu juga berhati-hati. Kalau tidak dibuat pemerhatian yang betul, dikhuatiri kemelut dalam bentuk fizikal akan diterjemahkan oleh rakyat.

BAHASA MELAYU DIPERLEKEHKAN

Cuma Suara Merdeka amati ada dua perkara yang agak memperlihatkan kurang keberanian dalam setahun tujuh bulan ini iaitu meletakkan bahasa Melayu dalam arasnya sehingga dikatakan `didolak-dalikkan’. Kedudukan bahasa Melayu agak longgar terutama apabila diuji oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran sebelum ini – masing-masing menerusi isu kenyataan Menteri Kewangan dalam bahasa Mandarin dan orang Melayu kaum pendatang. Ini rumusan yang tidak harus dibuat seseorang menteri.

Dari segi perundangan, walaupun isu 1MDB mula ditadbir secara profesional, ada aspek lain lagi yang perlu difikirkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas. Kes rasuah melibatkan satu dua orang penting kerajaan sudah tidak disebut lagi. Kalau tidak disusul, ia umpama limau masam sebelah, manis sebelah. Ini bertentangan dengan Rule of Law, justeru polemik ini perlu cepat diatasi Peguam Negara.

Kalau tidak, rakyat akan sedar kes-kes yang banyak bersabit dengan kerajaan, tiba-tiba pula mahu dikemudian, tentu pelik bukan?

SST vs GST

Berkenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), formulanya dikatakan perlu penjelasan. Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di bawah pentadbiran terdahulu memanglah dikatakan tidak cantik dan tidak lunak tersusun sehingga berlaku keterbakian yang tidajk dilaksanakan oleh Perbendaharaan. Namun, diakui prinsip GST lebih jelas.

Mengapa SST disebut 10% (cukai jualan) + 6% (perkhidmatan)? Rakyat tidak faham kerana dalam fikiran mereka kena cukai 16%. Pengenaaan cukai pada rakyat tidak dijelaskan dengan baik.

NASIB PENEROKA FELDA, FELCRA, RISDA

Dalam pada itu rakyat dari Felda, Felcra dan Risda yang masih bergantung kepada komoditi merasakan mereka tidak diberi perhitungan sebaik-baiknya oleh kerajaan. Pekebun-pekebun kecil suatu ketika terpaksa menanggung beban tambahan akibat daripada kejatuhan harga minyak sawit sehingga 20%. Ini agak mencemaskan ekonomi orang kampung.

SOSIALISME ‘SAMA RASA, SAMA PAKAI, SAMA KUASA’

Tempoh pentadbiran PH juga didakwa meresahkan dengan beberapa kerajaan negeri seperti Perak dan Melaka ketara sangat sosialisme ‘sama rasa, sama pakai dan sama kuasa’. Yang seolah-olah kedirajaan dan ketidakdirajaan sama sahaja.

Adakah akan timbul di Perak kelak suatu sistem pemberian tanah secara mendadak berbanding yang terdahulu? Jika benar, mengapa sampai Pusat tidak dapat mengawasi kerajaan negeri? Di Melaka pula, teguran dari Pusat macam tidak ada. Adakah ini disebabkan DAP dan PKR lebih kuat dari Bersatu? Walaupun mungkin dinafikan, Suara Merdeka khuatir himpitan dua parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam PH ini akan menjelmakan sejenis pentadbiran yang lemah buat kerajaan.

‘PM KE-8’ GELODAK HATI ANWAR

Dan memasuki gerbang 2020, Suara Merdeka akur Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi Perdana Menteri kerana itulah persetujuan dalam rundingan asal kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir.

Antaranya dikatakan Dr. Mahathir akan memegang jawatan nombor satu sekurang-kurangnya dua tahun. Dan Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah masuk ke Putrajaya.

Lagipun adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak (50 kerusi) selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR (termasuklah di Negeri Sembilan yang meskipun Menteri Besar dari PKR, `jarumnya’ adalah DAP).

PH dalam menerjah 2020 menempuh cabaran cukup getir. Dr. Mahathir pun kelihatannya lebih lembut daripada Dr. Mahathir yang Suara Merdeka kenali terutama era 90-an.

Beliau meskipun seorang lasak dan amat dihormati rakyat dan dunia, namun keseluruhan survival masih banyak bergantung kepada parti yang diterajuinya dalam PH, Bersatu.

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button