Belang Bertempat

Perikatan Nasional nak jatuh dalam lubang `flip flop’ yang samakah?

BELANG pagi ini Rabu 27 Mei terjaga awal lagi seperti biasa, 4.30 a.m.

Masuk Raya hari keempat ini, masih teringat waktu bersahur rupanya, meskipun belum lagi mahu berpuasa enam.

Di sisi Belang, terpapar mesej dari grup WhatsApp Merong Mahawangsa – yang Belang masih segan-segan sebab anggota grup terdiri daripada orang lama yang cukup kaya dengan pengalaman hidup – dari golongan ilmuan, gerakan NGO sehinggalah mereka-mereka yang pernah duduk dan terlibat sama dalam pentadbiran merentasi empat lima perdana menteri.

Terasa `kerdil’ Belang dalam `belantara’ grup ini. Opps! terlupa pula dengan isu mesej tadi yang mahu Belang bawakan kali ini.

Ya, ia daripada Datuk Dr Hasan Mad, setiausaha agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang Belang cukup hormati hujah-hujahnya untuk manfaat bersama orang Melayu.

Memulakan Salam Syawal Al-Mubarak dengan mukadimahnya “Belum pun bah, pasir sudah berubah”, Dr Hasan menarik perhatian akan kekecewaan orang Melayu yang bukan sangat kepada kepimpinan atau pengurusan syarikat milik kerajaan (GLC) yang dari minggu ke minggu ini diisi oleh orang politik.

Luahan itu sebaliknya, kata beliau suatu manifestasi keyakinan mereka terhadap kepimpinan negara yang masih volatile. Begitu juga keyakinan mereka, boleh berubah ke kiri atau ke kanan mengikut suasana semasa.

Belang paparkan luahan Dr Hasan untuk renungan kita bersama:

Dr Hasan Mad

“Dilema orang Melayu sebenarnya ialah terhadap kepimpinan negara yang di awal Mac lepas amat mereka kagumi. Orang Melayu harapkan pengislahan tadbir-urus yang jauh lebih Islamik daripada apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan sebelum ini lakukan.

“Bila PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri membaca doa memulakan ucapan, rakyat sanjung menggunung, macam-macam cerita indah mula terpapar. Bila kerajaan dengan tegas dan cukup strategik tangani wabak Covid-19, rakyat bangga dan berikan sepenuh sokongan.

“Berduyun-duyun para sukarelawan dari seluruh pelosok negara tampil mainkan peranan masing-masing, bantu tangani wabak ini. Dokumentari hasilan TV3 mengenainya sungguh menyentuh hati.

“Bila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong umumkan bahawa Sidang Parlimen 18-5 (18 Mei 2020) hanya untuk Baginda sampaikan Titah Ucapan tanpa ada ruang perbahasan mengenainya, atas alasan yang munasabah, rakyat berdiri-teguh di belakang Baginda dan kerajaan, sehinggakan pembangkang rasa mereka terpinggir.

“Tapi bila masuk bab ekonomi dan bertalu-talu berita paparkan satu demi satu kepimpinan politik diberi mandat terajui GLC, rakyat mula angkat kening.

“Sekalipun tidak semua mereka itu ditolak secara en bloc, penampilan beberapa orang dalam kalangan mereka cukup meragukan dan membimbangkan.

“Mulanya teguran orang Melayu berlapik, kini dah secara terbuka dan lantang. Dalam sekelip mata, harapan mereka terhadap kepimpinan negara berubah dari jernih kepada pudar.

“Rata-rata mereka bertanggapan tatkala jentera perkhidmatan dan korporat kerajaan masih tersangat bolos, porous malah ada diantaranya yang malfunction, lantikan orang politik terajui institusi-institusi penting ini untuk bangkitkan kekuatan ekonomi negara hadapi deep recession yang amat ganas dalam sejarah dunia ini, adalah satu tindakan yang tidak prihatin.

“Badai ekonomi semakin ganas, pengangguran kian meningkat, bisnes semakin sukar, tapi orang Melayu lihat pemimpin mereka lebih sibuk untuk selamatkan dan utamakan sekutu mereka dalam politik.

“Mulalah kedengaran kata-kata sinis, jika inilah yang mereka utamakan lebih baiklah kita berjumpa saja di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Pada hemat saya, untuk adakan PRU-15 ketika kita bertarung hidup-mati berdepan deep recession bukanlah opsyen terbaik.

“Remidi beginilah, bagaimana kita ambil jalan tengah selesaikan kemelut ini. Pemimpin pun ada dilemanya sendiri. Kepentingan politik nak kena jaga. Kepekaan rakyat yang hendakkan kepimpinan GLC diterajui Melayu sehebat czar, pun nak kena dengar. Hakikatnya, kita semua nak harungi badai ekonomi yang amat ganas, maka dah tiada masa nak berpolitik. Malah ada banyak lagi krisis lain yang nak kita harungi bersama.”

Benar kata Dr Hasan. Kerajaan dikepalai Perikatan Nasional jangan terjatuh dalam `flip flop’ yang sama dengan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari.

Tak kira siapa pemenangnya yang menduduki kerajaan hari ini, rakyat Malaysia mengimpikan tadbir urus yang baik.

Dengan itu, pemenang mutlak akan terserlah dalam PRU-15 nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button