Belang Bertempat

COVID-19: Ribuan diberhentikan kerja, tak insafkan orang politik?

WAIMA apa pun hiruk pikuk atau gegak gempita situasi politik negara ketika ini, Belang amat berharap ungkapan demokrasi tersohor, “Dari, Oleh dan Untuk Rakyat” terus dipertahankan.

Tidak kiralah daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan hari ini, masing-masing perlu pandang ke depan.

Isu `kerajaan pintu belakang’ dan `lompat parti’, kedua-dua ada kaitan rapat. Tindak tanduk atau perilaku lompat parti atau keluar masuk parti inilah yang mencetuskan suasana politik tidak menyenangkan ini.

Beberapa hari lepas, bertali arus berita atau khabar sedih hinggap di telinga Belang. Yang begitu tersentuh di jiwa Belang adalah khabar yang datang dari Media Prima Bhd, syarikat induk kepada kumpulan New Straits Times Press (NSTP) dan empat saluran televisyen. Iaitu dengarnya, kemungkinan akan dilakukan latihan pemberhentian kali kedua melibatkan kira-kira 300 kakitangan.

 

Ini berlaku setelah 543 kakitangan NSTP mengalami nasib sama, hanya tiga bulan lalu pada pusingan pertama latihan rasionalisasi.

Yang terlibat termasuklah kakitangan editorial – akan bekerja untuk kali terakhir pada 31 Ogos 2020. Surat penamatan dikatakan akan dikeluarkan pada akhir bulan Jun, kata sumber.

Namun, kakitangan Media Prima ini begitu bernasib baik berbanding rakan-rakan Belang di Utusan sebelum ini. Mereka dalam jumlah sekitar 800 orang ditinggalkan terkontang-kanting. Kalau kebakaran rumah itu ibarat `tinggal sehelai sepinggang’lah.

Kata seorang rakan `snooker’ Belang, umpama `melukut di tepi gantanglah’. Sekitar dua bulan sebelum tutup tidak bergaji, alih-alih pagi 9 Oktober 2019 masuk kerja macam biasa, dapat surat suruh kosongkan ofis 24 jam.

Semalam, adik ipar Belang maklumkan dia yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan akan dipanggil oleh HR nya pagi ini untuk urusan pemberhentian kerja.

Di merata dunia ketika ini, itulah isunya – pemberhentian kerja gara-gara pandemik COVID-19. Di Jepun lebih kurang sama nasibnya seperti negara kita. Lebih 16,700 pekerja di Jepun, terutama dalam industri perhotelan, diberhentikan kesan daripada wabak berkenaan.

Menurut NHK, sejak akhir Januari hingga 29 Mei, lebih 3,700 pekerja hotel diberhentikan, 2,287 petugas syarikat mengendalikan bas pelancongan dan teksi serta 2,122 kakitangan dalam sektor lain yang berkaitan ditamatkan perkhidmatan.

Oh! sudah jauh berjalan jauh pula Belang, sedangkan Belang mahu mengingatkan dalam ruang terhad pojok ini betapa penting orang-orang politik yang sedang bercakaran hari ini janhgan jadikan rakyat ibarat kancil yang tersepit di tengah-tengah pertempuran dua ekor gajah.

Tidak kira betapa raksasanya dua gajah itu, kelak rakyat akan menentukan siapa yang mementingkan kebajikan rakyat dalam pasca pandemik COVID-19 ini.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi
Pertama keluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok kedua pandai.

Belang cukup percaya bagi seorang ahli politik, naluri dalam diri seorang wakil rakyat akan kekal sepanjang hayatnya. Ini bermakna selagi hayat dikandung badan, sebahagian dirinya tetap menjadi ahli politik.

Namun asyik sangat berpolitik membikin rakyat benci dan meluat. Pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara akan gagal jika pemimpin mereka asyik berpolitik tanpa mempedulikan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Bila kita tak mendahulukan rakyat, bila hanya berpolitik, apa kesudahannya. Apa yang akan terjadi kepada rakyat.

Belang tak mahu sambung dah. Meluat.

Cuma acap kali bila rakyat dihidangkan dengan drama politik cacamarba kita hari ini termasuklah lompat parti serta termasuklah kelmarin bila seorang ahli parlimen letak jawatan timbalan menteri, Belang teringat ungkapan Bob Hope, seorang penghibur Hollywood.

Hope pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, ‘hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.

Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang – tidak kira sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak. – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button