Nasional

Budayakan Sikap Rajin, Perangi Kemalasan – Raja Muda Perlis

SETELAH berada di rumah selama lebih 2 bulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada alasan lagi bagi sesiapa sekalipun di negeri ini baik di bandar mahupun desa mengambil sikap ‘tidak mengapa’ untuk membiarkan dalaman dan halaman rumah masing-masing berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus tanpa dibersih dan dirapikan”.

Negeri Perlis hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemas. Tiada kompromi dalam aspek tersebut.

Ahli keluarga, jiran tetangga serta kepimpinan masyarakat setempat mestilah mengambil sikap bertanggungjawab dan prihatin melalui pendekatan saling nasihat-menasihati, membimbing secara berhemah, malah menunjukkan teladan bagi memberi kesedaran kepada mereka-mereka yang tinggal dalam keadaan kotor di kawasan masing-masing.

Kotoran bukan sahaja sakit mata memandang, tetapi juga mengundang pelbagai penyakit yang boleh melanda diri sendiri, ahli keluarga tersayang dan juga seluruh kejiranan.

Bagi rumah-rumah yang dihuni oleh yang berpenyakit kronik, warga emas, OKU atau golongan seumpama yang tidak berkemampuan untuk melakukan apa-apa secara sendiri kerana tidak mempunyai waris yang sihat tubuh badan, maka adalah wajar diinisiatifkan gotong royong pembersihan secara berkala di kalangan masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, membudayakan sikap rajin dan memerangi kemalasan adalah kunci kepada perubahan positif dalam kehidupan seseorang.

Kemalasan akan menjadikan seseorang bersikap ‘duduk sahaja’, ‘tidak mengapa’ ‘lebih kurang’ dan ‘cin-cai’ yang akhirnya menjejaskan produktiviti dan kualiti dalam kehidupan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali yang ke-18 bagi tahun 2020 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada pagi semalam.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut bertitah, salah satu usaha utama yang perlu dalam menangani kemiskinan adalah dengan menentang sikap malas yang ada di dalam diri sendiri.

Tegas baginda, masyarakat hendaklah sentiasa bersedia dan berfikiran positif. Jangan menerima hidup sekadar seadanya sahaja. Apatah lagi keadaan ekonomi dunia yang kini semakin tidak menentu dan mencabar akibat Covid-19. Peluang pekerjaan baru dijangka semakin terhad. Lebih menakutkan ialah jika pekerjaan sedia ada di pelbagai organisasi terpaksa dikurangkan sehingga organisasi itu sendiri juga ditutup.

Sikap ‘lebih kurang’ atau ‘cin cai’ pula menjadikan setiap yang diusahakan separuh jalan dan tidak mencapai matlamat yang sepatutnya.” titah baginda.

Nada sama turut dilontarkan dengan lebih terperinci dan jelas sekali oleh Mohd Asri dalam platfom media sosial beliau dan mendapat respon dan komen bersetuju yang hangat sekali di kalangan netizen. Beliau meminta agar semua pihak ‘berjihad’ menentang kemalasan.

Mohd Asri menasihatkan agar usaha menghapuskan kemiskinan dimulakan dengan mencabut ‘akar’ masalah yang merosakkan anak bangsa kita iaitu minda dan budaya sikap malas dalam diri. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button