Politik

Perebutan kerusi dijangka berlaku dalam PN di PRN Sabah

PEREBUTAN kerusi dijangka  akan berlaku dalam Pakatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ekoran setiap parti dalam gabungan itu mempunyai keinginan untuk bertanding di sebanyak mungkin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk PRN kali ini, Sabah mempunyai 73 kerusi DUN  dan berdasarkan kepada analisis yang dibuat oleh portal Sabah News Today, PN bakal berhadapan kesukaran untuk mengagihkan kerusi-kerusi tersebut secara adil dalam kalangan parti gabungan itu.

Setiap parti dalam PN dikatakan mahu bertanding di sebanyak mungkin kerusi menyebabkan ada DUN kini diintai oleh dua parti daripada gabungan yang sama.

Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sudah tentu turut memberi keyakinan untuk menumpaskan Warisan dan Pakatan Harapan pada PRN yang dikatakan akan menyumbang kepada kemelut perebutan kersui.

Walaupun parti-parti terbabit berpakat di bawah gabungan PN, namun naluri untuk menjadi parti yang dominan dijangka akan mendorong kepada perebutan.

Berdasarkan analisis tersebut, antara kesukaran dalam agihan kerusi tersebut ialah yang membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Yang lainnya ialah antara Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dalam PN hanya MCA dilihat selesa untuk bertanding di kerusi majoriti kaum Cina yang menjadi kawasan tradisinya iaitu Kapayan dan Luyang.

MCA mungkin akan mendapat kerusi tambahan dengan mengambil alih kerusi tradisi Cina bekas komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Gerakan. Ini membabitkan DUN Likas, Tanjung Kapor, Merotai, Karamunting, Elopura dan Tanjung Papat.

Di sebalik ramalan MCA bakal mendapat laluan mudah untuk bertanding di kerusi terbabit, faktor PBS juga tidak boleh diketepikan kerana parti tersebut juga mula menunjukkan minat untuk meletakkan calon di DUN terbabit.

Kawasan DUN yang mempunyai majoriti pengundi bumiputera Islam sudah tentu akan menjadi rebutan antara UMNO dan Bersatu sementara tiga parti lagi akan fokus kepadakawasan majoriti Kadazandusun Murut (KDM).

UMNO mungkin berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat lebih kerusi berbanding Bersatu kerana ketika ini mereka hanya mempunyai satu kerusi DUN sahaha iaitu Sibuga.

Bersatu pula, walaupun mempunyai banyak kerusi dalam DUN Sabah, tetapi kebanyakan kerusi itu dimenangi oleh calon terbabit pada pilihan raya umum ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Daripada sembilan DUN yang disandang oleh Bersatu sekarang, lapan dimenangi oleh UMNO pada PRU14. Wakil rakyat ini keluar beramai-ramai pada Disember 2018 untuk menyertai Bersatu.

DUN terbabit ialah Sulaman, Usukan, Kawang, Membakut, Klias, Lumadan, Karanaan dan Apas.

Satu lagi DUN yang dimiliki Bersatu ialah Nabawan itu pun berikutan keputusan wakil rakyatnya, Datuk Bobbey Suan menyertai parti itu selepas meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada Mei 2018.

Selain lapan DUN tersebut, UMNO juga dikatakan berminat untuk menuntut kerusi bekas wakil rakyatnya yang telah menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UPKO iaitu Sugut,  Kemabong, Tanjung Batu, Sebatik, Balung, Pitas, Sukau dan Tempasuk.

Selain itu DUN yang ditandingi UMNO pada PRU14 tetapi tewas kepada Warisan iaitu Sindumin, Bongawan, Pantai Manis, Petagas, Karambunai, Liawan, Gum-Gum, Sekong, Tungku, Lahad Datu, Kunak, Bugaya, Senalang dan Sulabayan sudah tentu turut berada dalam radar mereka.

Selain itu ada beberapa kerusi baharu yang mempunyai majoriti pengundi bumiputerea Islam yang pasti berada dalam pertimbangan UMNO dan Bersatu iaitu Darau, Pantai Dalit, Sungai Manila, Pintasan, Lamag dan Kukusan.

Jelas, agihan kerusi untuk PRN Sabah dalam PN nampak rumit. Walaupun UMNO dan Bersatu mengatakan mereka sedia berunding, tetapi ia sudah tentu akan membabitkan satu rundingan yang sukar.

Lagi pula, Bersatu awal-awal lagi sudah mengumumkan untuk bertanding di 45 DUN, sementara UMNO pula mahu bertanding di semua kerusi yang ditandinginya pada PRU-14 iaitu 31 DUN.

Bagi tiga lagi parti komponen PN, tumpuan mereka sudah tentu di DUN yang majoariti kaum Kadazandusun Murut (KDM). Semunya ada 30 kerusi.

PBS antara yang paling senior dalam kalangan tiga parti itu sudah menyatakan mahu bertanding di 30 kerusi termasuk yang dimenanginya pada 2018 iaitu Kiulu, Tamparuli, Kundasang, Tandek, Matunggong dan Labuk.

PBS juga dikatakan mahu menuntut semula kerusi yang mereka kalah pada PRU14 iaitu di Api-Api, Tanjung Aru, Inanam, Melalap dan Sri Tanjong.

Hanya kerusi DUN Tambunan dan Bingkor mungkin diserahkan kepada Star. Dua DUN itu memang menjadi kawasan tradisi Star termasuk mengalahkan calon PBS pada 2018.

Selain dengan STAR, PBS juga dijangka akan mempunyai isu dengan UPKO di Nabawan, Kadamaian, Paginatan, Kuamut, Moyog dan Kuala Penyu.

Beberapa kerusi baharu turut diintai PBS iaitu Limbahau, Telupid, Pintasan, Bandau, Bengkoka, Tulid dan Segama.

Bagi STAR, selain dua kerusi tradisi itu, mereka dikatakan  menuntut DUN Sook yang disandang Datuk Ellron Angin selain turut mengintai DUN Tulid Nabawan dan beberapa kerusi KDM lain.

PBRS yang dilihat agak ketinggalan dalam perlumbaan perebutan kerusi dalam PN ini. Ini disebabkan mereka tidak menyandang apa-apa kerusi DUN.

Tetapi sebagai rakan komponen dalam PN, tentunya tidak wajar jika mereka dipinggirkan pada PRN Sabah kali ini.

Malah PBRS telahpun menyuarakan hasrat bertanding di Tulid selain mahu mengambil semula Sook dan mencuba nasib di kerusi lain di pedalaman antaranya Liawan dan Nabawan.

Nampaknya, sebelum berhadapan dengan Warisan dan PH pada PRN Sabah, PN terpaksa ‘berhadapan’ sesama sendiri dahulu dalam memastikan agihan kerusi dalam kalangan komponen mereka lancar dan tidak timbul perbalahan. – SM

 

(Visited 359 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button