Percepat proses pemodenan sektor agromakanan menerusi DAN 2.0
JOHOR BAHRU – Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), yang bakal dilancarkan pada tahun 2021, dilihat akan mempercepat proses pemodenan dalam sektor itu, sekaligus mengurus permintaan dan penawaran bekalan makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dasar itu akan meneruskan objektif dasar agromakanan sedia ada bagi menjamin sekuriti makanan serta meningkatkan sumbangan kepada pendapatan golongan sasar dan ekonomi negara.
Beliau berkata pendekatan baharu yang berteraskan teknologi moden dan pembangunan mampan selaras dengan arus Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 akan diperkenalkan untuk memodenkan lagi sektor agromakanan supaya sektor ini kekal relevan dan menyokong aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
”Pembangunan sektor agromakanan pada masa hadapan perlu mengambil kira kemampanan sumber asli dan alam sekitar serta memastikan semua rakyat mendapat sumber makanan yang mencukupi, berkhasiat dan mampu dibeli, selaras dengan tema SDGs 2030 iaitu Tiada yang ketinggalan di belakang,” kata beliau ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.
Dr Wan Azizah berkata DAN 2.0 akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan hala tuju baharu dalam tempoh 10 tahun seperti membangunkan input pertanian dalam kesemua subsektor agromakanan, menjadikan negara sebagai pengeluar utama buah-buahan tropika di peringkat dunia; dan memantapkan perkhidmatan pengembangan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
Menurut beliau, dasar baharu itu juga akan menambahbaik aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan varieti baharu yang tahan perubahan iklim dan mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.
Selain daripada memperkukuhkan sistem kawalan, pemantauan dan pengawasan (MCS) dalam subsektor perikanan, penekanan khusus turut diberikan dalam subsektor industri asas tani dan keusahawanan agro seperti agro-kulinari dan agro-pelancongan.
Dr Wan Azizah berkata momentum pertumbuhan sektor agromakanan kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.
“Ini menunjukkan dengan panduan yang betul, sektor ini berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama di dalam pembangunan negara,” kata beliau.
Justeru, bagi menjayakan Wawasan 2030, sektor agromakanan memerlukan pelapis dan generasi muda yang dapat memberikan suntikan semangat baharu kepada pembangunan sektor ini.
“Saya percaya dengan perkembangan teknologi terkini dan jawatan seperti pengurus kebun dan agrologis, ia akan dapat menonjolkan imej baharu kerjaya dalam sektor agromakanan yang lebih profesional dan bersesuaian dengan era moden ini,” kata beliau.
Dr Wan Azizah berharap HPPNK 2019 akan menjadi platform dalam menarik minat golongan muda khususnya untuk menceburi sektor agromakanan dan menyemai semangat keusahawanan dalam minda mereka.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyeru agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terus memberikan tumpuan dalam menarik pelaburan swasta dalam dan luar negara bagi menjayakan agenda sektor agromakanan negara.
“Saya percaya hanya dengan keupayaan dan kesediaan pemain industri, sektor ini dapat dipertingkatkan bagi membolehkan peladang, penternak dan nelayan bersaing di peringkat antarabangsa dan mencipta jejak global.
“Malaysia dengan iklim panas dan lembap yang bersesuaian untuk aktiviti pertanian serta tawaran pakej insentif yang menarik dan mesra perniagaan pasti akan menjadi faktor yang menarik pelaburan asing ke dalam negara,” kata beliau.
Beliau memberi contoh pelbagai produk-produk pertanian negara seperti durian, sarang burung walit, herba dan rumpai laut telah dipasarkan dan mendapat sambutan yang luar biasa di luar negara.
“Dengan adanya produk-produk premium seperti ini dan penghasilan produk-produk lain yang bermutu tinggi, saya percaya golongan peladang, penternak dan nelayan bukan sahaja boleh keluar dari kumpulan B40 tetapi tidak mustahil boleh terus melompat masuk ke kumpulan T20,” kata beliau.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri MOA Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.
— BERNAMA