
Raja Perempuan Perlis berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran MyUS Group
KANGAR: Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran MyUS Group yang berlangsung di Kangar Jaya.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MYUS Group of Companies, Datuk Nellsen Young.
Dalam ucapan alu-aluan beliau, Datuk Nellsen menyatakan komitmen berterusan MyUS Group untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi tempatan, memperkasa pembangunan modal insan, serta memperluaskan jaringan kerjasama serantau dan antarabangsa ke arah menjadikan Perlis sebuah negeri yang progresif, berdaya tahan dan berwawasan.
“Kami berharap majlis ini menjadi permulaan kepada jaringan kerjasama yang lebih erat, bukan sahaja dalam bidang perniagaan, malah turut menyemai nilai kemanusiaan dan budaya yang universal,” ujar beliau lagi.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu turut diserikan dengan persembahan Tarian Canggung, ‘Chinese Bian Lian face changing’, nyanyian solo nasyid, persembahan piano oleh ‘Maestro’ Datluk Mokhzani Ismail dan beberapa persembahan lain serta pertunjukan bunga api yang memukau sebagai penutup acara.
Tuanku Raja Perempuan turut berkenan memotong kek istimewa sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis.
FOTO