Perbincangan pembukaan semula sempadan dengan Singapura positif
MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perbincangan antara Malaysia dengan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan kedua-dua negara adalah positif.
“Saya agak positif …tetapi sudah tentu akan ada pihak yang melihatnya secara negatif tetapi mereka tidak terlibat dalam perbincangan dan tidak tahu apa yang saya telah bincangkan dengan menteri luar Singapura,” katanya.
Hishammuddin turut memberi jaminan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan memberi tumpuan pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.
Berdasarkan perbincangannya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju tentang kepentingan SOP dan protokol kesihatan.
“Apa yang penting adalah mengambil pendekatan langkah demi langkah untuk memastikan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara berjalan lancar dan selamat dan memberi manfaat kepada kita dalam semua sektor,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Hishammuddin berkata, sekiranya pembukaan semula sempadan tidak dapat dilakukan dengan jiran terdekat Malaysia, Singapura, dengan itu sukar untuk melaksanakan konsep ‘green bubble’ dengan negara-negara lain.
Untuk makluman, konsep “green bubble” melibatkan langkah melonggarkan sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mencatatkan kes penularan dan jangkitan tempatan Covid-19 yang rendah.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, mesyuarat Menteri Luar ASEAN semalam turut memperhalusi keberangkalian untuk membenarkan pergerakan rakyat antara dua negara dalam rantau ASEAN yang dikategorikan sebagai ‘hijau’ atau lebih dikenali konsep “green bubble”.
“Pergerakan rakyat antara negara penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi serantau,” kata beliau.
Hishammuddin berkata, konsep “green bubble” mungkin akan dibangkitkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 esok yang akan berlangsung secara maya.
Kata Hishammuddin lagi, Wisma Putra sedang memikirkan kaedah terbaik mengenai pelaksanaan konsep “green bubble”. – SM