Nasional

Penyangak Tanah Besar sorok duit RM2.5 juta dalam beg

KETIKA Macau Scam mengganas yang kita sangka didalang warga China, tetapi rupa-rupanya angkara orang tempatan, kini polis menumpaskan satu sindiket yang betul-betul digerakkan oleh orang China.

China dari Tanah Besar ini kononnya berniaga mata wang krypto dan pada masa yang sama menjalankan kegiatan penipuan dan pelacuran.

Nasib baik polis berjaya menghidu kegiatan mereka dan memberkas 14 warga China dan dua rakyat tempatan dalam serbuan di Cheras dan Kajang, semalam.

Serbuan bermula pukul 2 petang hingga 11 malam itu membawa kepada penahanan 16 suspek membabitkan 14 warga China dan dua rakyat tempatan.

Serbuan itu juga menemukan wang tunai bernilai RM2.5 juta yang disembunyikan dalam beg pakaian.

Nasib baik polis berjaya menumpaskan sindiket ini, itupun mereka telah meraup jutaan ringgit duit mangsa.

Utusan Online melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah kondominium di Kajang yang membawa kepada penangkapan lapan warga China termasuk seorang wanita berusia lingkungan 21 tahun hingga 28 tahun.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam kegiatan mempromosikan aktiviti pelacuran secara dalam talian kepada rakyat di negara mereka sendiri.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 15 unit telefon bimbit dan komputer riba (dua unit) yang dipercayai digunakan bagi aktiviti haram mereka,” katanya.

Tambah Huzir, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara 3, Cheras sebelum menahan enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga China.

Turut ditahan dalam tangkapan itu seorang lelaki dan wanita tempatan yang berperanan sebagai ‘pegawai perhubungan’ termasuk menyediakan rumah kepada sindiket.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas dalam serbuan polis mendapati, sindiket menjalankan kegiatan urus niaga mata wang krypto dan aktif sejak dua bulan lalu.

“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM2.5 juta dalam bilik kediaman itu yang disembunyikan dalam beberapa beg pakaian.

“Kita tidak menolak kemungkinan wang itu hasil pengubahan wang haram daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

“Jika wang ini hasil daripada kegiatan halal mesti disimpan di bank bukan di dalam beg sebegini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372b Kanun Keseksaan bagi kesalahan mempromosikan kegiatan pelacuran, Seksyen 4(1)(a), 4(1)(g) dan 4(1)(h) Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

(Visited 673 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button