Penyakit yang tak mampu diubati…
SEJAK kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, kerajaan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan. Kemudian Kerajaan diganti dengan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selama 15 bulan PN menjadi Kerajaan, bertukar lagi sehingga sekarang yang mana Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut pandangan Pengurusi Perhubungan PUTRA Pulau Pinang dan ADT PUTRA, Nasir Othman, iklim politik yang tidak menentu, bercakaran sesama sendiri, bergocoh sesama musuh maka tumbuhlah parti-parti politik baharu umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
“Juak-juak, pengampu-pengampu serta broker-broker politik giat mencari makan untuk kepentingan perut sendiri bersama kroni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, isu demi isu, masalah demi masalah, bencana demi bencana menimpa negara tak kunjung padam.
Beliau berkata, “kemungkinan juga malapetaka atau kifarah yang dihadapi oleh negara adalah akibat kelalaian, melampaui batas, keasyikan duniawi melampau sehingga tidak dapat membezakan dosa dan pahala, jijik dan moral serta keji dan etika.
“Salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah tak perlu dihurai, sudah menjadi amalan biasa siapa saja berkuasa. Benar jadi salah dan salah jadi benar. Pelapor jadi salah, yang melakukan dipertahankan. Ini realiti hari ini bagi mereka yang berkuasa.”
Tambah beliau, pembohongan dijadikan retorik alasan memperbodohkan rakyat dengan sedikit pun tidak terasa bersalah.
Lantaran itu, Nasir mendakwa, bencana demi bencana, Covid-19 dengan pelbagai varian yang meragut banyak nyawa.
Banjir, tanah runtuh, taufan, kebakaran sudah cukup memberi pembelajaran kepada rakyat Malaysia yang mempunyai akal budi untuk dijadikan iktibar dan pelajaran, katanya.
“Namun bukan semuanya sedar, mungkin dianggap sebagai bencana lumrah alam dan secara kebetulan,” ujar beliau.
Persoalannya, kata Nasir, sampai bilakah akan terus berlaku ketidakpastian masa depan negara?
“Bencana politik oleh kerakusan kuasa yang dipelopori oleh kluster perosak bertopengkan kepura-puraan sedang menghumban negara ke dalam “longgokan sampah”.
“Rakyat menjadi korban permainan “mempolitik” setiap aspek kehidupan. Bencana politik menyebabkan kegagalan menangani krisis kesihatan akibat Covid-19 walaupun lebih 90% sudah divaksin namun jangkitan dan kematian terus meningkat.
“Apa puncanya? Seolah-olah tiada jawapan. Krisis ekonomi sedang menjerumuskan negara kea rah bankrupsi.
“Hutang negara semakin bertimbun RM1.3 trilion, hasil negara semakin merosot, kos sara hidup semakin meningkat, pengangguran terus bertambah, harga barang makanan terus melambung. Apakah seterusnya akan berlaku?” kata Nasir panjang lebar dalam kenyataan yang sama.
Kata Nasir, hanya rakyat yang boleh mengubati penyakit negara dengan menggunakan kuasa memilih pemimpin yang selayak boleh memimpin.
“Kecenderungan rakyat yang masih “terpikat” dengan pemimpin kluster perosak disebabkan taksub, dedak dan “terpukau” oleh “aura kepuraan” sukar untuk memulihkan negara yang semakin tenat.
“Selagi segala kemungkaran menjadi biasa dan kebenaran “luar biasa” maka selama itu rakyat akan menanggung derita,” katanya. – SM