Luar Negara

Penunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand kembali ke jalanan

BANGKOK, Thailand terus bergolak dengan ribuan penunjuk perasaan anti-kerajaan kembali memenuhi jalan raya hari ini.

Demonstrasi jalanan itu dilakukan bagi mengulangi tuntutan para penunjuk perasaan yang mahukan perubahan politik walaupun berlaku rusuhan menyebabkan sekurang-kurangnya 55 orang cedera dalam protes semalam.

Para penunjuk perasaan yang memakai baju hujan, topi keledar dan topeng berikutan rusuhan semalam bagi melindungi diri mereka apabila polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata di luar Parlimen.

Para pemprotes ini berkumpul di daerah perniagaan Bangkok di Ratchaprasong mengulangi tuntutan mereka termasuk desakan supaya Perdana Menteri meletak jawatan.

Mereka berarak ke Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand kira-kira sejauh 100 meter.

Penunjuk perasaan menyembur air dan melempar cat ke ibu pejabat polis itu selain turut menyimbah cat pada papan tanda di pintu masuk.

Polis anti-rusuhan Thailand terpaksa bertindak menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan anti-kerajaan.

Tindakan itu terpaksa dilakukan selepas para penunjuk perasaan cuba memotong kawat duri dan mengalih penghadang konkrit yang dipasang di luar bangunan Parlimen.

Pusat Perubatan Erawan di Bangkok pula melaporkan sekurang-kurangnya 55 orang termasuk enam individu mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

Sebanyak 32 orang lagi cedera akibat terkena gas pemedih mata semasa protes di Parlimen semalam. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan siapakah yang melepaskan tembakan itu.

Pada sidang media hari ini, Timbalan Jurucakap Polis, Kolonel Krissana Pattanacharoen berkata, polis sedang menyiasat dalang di sebalik insiden tembakan berkenaan.

“Seperti yang saya umumkan sebelum ini, tiada peluru getah atau hidup digunakan oleh pihak berkuasa pada operasi di Parlimen)semalam.

“Kami sedang mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau mengulangi respons yang diambil oleh polis dalam insiden semalam, mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan.

Sidang Parlimen bersambung hari ini dan Ahli Parlimen dijangka mengundi untuk kemungkinan besar, meminda perlembagaan.

Persidangan Parlimen selama dua hari yang bermula semalam membincangkan pelbagai cadangan untuk perubahan Perlembagaan termasuk kedudukan dan keistimewaan monarki serta peranan dan kuasa Senat yang dipilih.

Pindaan Perlembagaan yang digubal panel yang dilantik oleh tentera selepas rampasan kuasa pada tahun 2014 adalah satu daripada tuntutan gerakan anti-kerajaan yang dipimpin oleh pelajar sejak pertengahan Julai.

Tuntutan lain termasuk meminta Perdana Menteriberundur, pembubaran Parlimen dan reformasi monarki.

Petang semalam juga, Ahli Parlimen mengundi tujuh draf pindaan Perlembagaan.

Bagaimanapun, hanya dua daripada tujuh cadangan pindaan itu diterima pakai yang membenarkan perbincangan untuk perubahan Perlembagaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button