Nasionalpilihan

Penting cegah jenayah yang tidak memilih jantina – Raja Puan Muda Perlis

RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah bahawa disebabkan jenayah tidak memilih jantina maka perbuatan ini boleh berlaku ke atas sesiapa pun tidak kira masa atau tempat.

Sehubungan itu, titah Baginda, amat penting supaya kesedaran pencegahan jenayah, jati diri serta kepekaan persekitaran diterapkan kepada masyarakat.

Demikian titah baginda ketika berkenan menutup ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – ’Women In Search of Excellence (W.I.S.E.) Siri Ke-11’ bertajuk “Lady Boss In The Police Force” anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama-sama YTF, petang semalam.

Menyentuh mengenai webinar tersebut, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang juga merangkap Pengerusi YTF menitahkan bahawa perilaku semula jadi kaum wanita yang lembut dalam tutur dan tingkah laku menjadi asbab untuk mereka dilindungi dan dipelihara dengan baik seperti mana Islam telah mengangkat darjat dan martabat seorang wanita.

Tambah baginda, kupasan setiap isu oleh para panel wirawati PDRM dalam webinar tersebut telah memberikan satu gambaran tentang kehebatan dan kebolehan kaum wanita dalam tugasan kepolisan yang didominasi oleh kaum lelaki.

“Kehebatan wirawati PDRM ini akan terus memberikan galakan positif agar lebih ramai kaum wanita menceburi sektor kepolisan yang mana ianya merupakan salah satu perkhidmatan terbaik kepada negara dan masyarakat,” titah Baginda.

Tuanku Raja Puan Muda turut mendoakan agar para wanita di Malaysia terus memperkasakan daya saing, daya kepimpinan serta menceburi peluang kerjaya dalam sektor kepolisan kerana dunia ini tidak hanya didominasi oleh kaum Adam, bahkan turut dikongsi bersama-sama kaum Hawa.

Antara para pegawai kanan wanita dalam PDRM yang menyampaikan perkongsian masing-masing sebagai panel dalam webinar tersebut ialah Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad menyampaikan ucaptama, Datuk Nerita Yaacob pulq mengupas tajuk ‘Kerjaya Wanita dan Modal Insan dalam PDRM, ‘Macau Scam, ‘Sumbangan Wanita Dalam Pencegahan dan Siasatan Jenayah Komersil’ oleh Datuk S. Sasikala Devi, ‘Penglibatan Pegawai Wanita Dalam Isu Pencegahan Aktiviti Pengganas’ oleh Deputi Komisioner Normah Ishak dan ‘Jenayah Seksual dan Peranan Pegawai Wanita’ oleh AsIsten Komisioner, Siti Kamsiah Hassan. Program tersebut dimoderatorkan oleh Inspektor Zaitul Najihah Abd Patah.

Webinar berkenaan pada awal paginya telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penasihat DiRaja YTF. – SM

Artikel berkaitan > Raja Muda: Wanita masih berpeluang sertai polis yang didominasi lelaki

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button