Pengurusan perlu pastikan sekolah selamat dari jangkitan Covid-19
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan semua pengetua atau guru besar sekolah di negeri ini supaya sentiasa memantau tahap kesihatan guru, kakitangan dan pelajar masing-masing dengan menjalankan saringan gejala setiap hari di pintu masuk bagi memastikan hanya guru, kakitangan dan pelajar sihat sahaja yang hadir ke sekolah.
Pembelajaran hendaklah dilaksanakan dengan pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal antara pelajar, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer.
Pihak sekolah juga hendaklah kerap menjalankan sanitasi persekitaran terutamanya di permukaan yang kerap disentuh.
Baginda turut menyarankan pihak guru agar meminimumkan pergerakan ke kawasan sesak dalam kehidupan seharian masing-masing kerana mereka juga berpotensi untuk menjadi punca jangkitan Covid-19 dikalangan pelajar khususnya dalam gelembung asrama.
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000
kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Mukminin, Kota Kayang untuk diagihkan oleh amilnya, Ismail Kassim.
Mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.
Tuanku Syed Faizuddin Putra penuh yakin pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri telah mengambil langkah-langkah yang tepat bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan kembali dengan sebaik mungkin.
Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Bukan hanya pelajar terkesan oleh krisis global ini, tugas guru juga menjadi semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses pengajaran dilaksanakan secara dalam talian dan pelbagai mod yang lain sebelum ini sehingga sekolah dibuka kembali’.
Sementara itu dalam sesi berasingan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman memaklumkan bahawa pihak jabatan beliau dengan kapasiti yang ada akan terus memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan semua pelajar di negeri ini mendapat peluang pendidikan yang terbaik dan yang terkini mengadakan ujian kendiri Covid secara berkala pada setiap hari rabu menggunakan ‘self test kit’ yang dibekalkan oleh pihak KPM.