NasionalPolitik

Pengundian PRK Slim bermula 8 pagi hari ini

PENGUNDIAN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berlangsung hari ini dalam kebiasaan baharu ekoran penularan wabak COVID-19.

Sebanyak 12 pusat mengundi membabitkan 54 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 5.30 petang.

Proses pengudian selama 9 jam setengah itu melibatkan seramai 22,749 pemilih berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab mereka. Daftar pemilih DUN berkenaan turut merangkumi 267 pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos.

Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian PRK DUN Slim, hari ini.

Sebanyak 12 pusat mengundi yang dibuka itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRK kedua dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas.

Sepanjang proses pengundian, pematuhan garis panduan pencegahan COVID-19 dilaksanakan SPR seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S. Santharasekaran.

Ketiga-tiga calon yang bertanding itu bagaimanapun tidak mengundi di DUN berkenaan.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai 33 kerusi terdiri daripada BN (25) yang kesemuanya UMNO, Bersatu (lima), PAS (tiga) manakala blok pembangkang terdiri daripada DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga) dan Gerakan (satu).

Bebas mempunyai satu kerusi yang menyokong kerajaan PN negeri.– BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button