Politik

Pengundi Tambun tolak calon nomad

Jalan di Tambun berbelok-belok, sesat carilah saya!

HILANG istilah lompat si katak lompat, Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini timbul istilah calon nomad. Ya, calon yang anjal, calon yang mudah dan boleh berpindah dari satu kawasan ke satu kawasan walaupun bukan anak jati di tempat berkenaan sebenarnya tidak kenal dengan masalah pengundi atau penduduk di situ.

Maka itulah, calon nomad tidak layak bertanding di Tambun, kata anak jati yang membesar di situ, Datuk Seri Faizal Azumu yang merupakan penyandang di Parlimen Tambun.

Beliau berkata, walaupun itu adalah hak (bertanding kerusi Tambun) Datuk Seri Anwar Ibrahim namun Faizal atau lebih terkenal dengan panggilan Peja, lebih layak bertanding di Tambun.

Bukan sekadar strategi Perikatan Nasional (PN) mengumumkan nama Peja sebagai bakal calon PN dari Bersatu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Sebaliknya bekas Menteri Besar Perak ini  selayaknya bertanding di Tambun kerana beliau tahu jalan-jalan Tambun yang berbelok-belok.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Peja tahu denyut nadi penduduk yang tinggal di kawasan Parlimen Tambun. Mungkin dalam nada berseloroh tetapi membawa konotasi yang amat mendalam apabila beliau berkata, “kalau datang ke Tambun dan sesat, carilah saya.”

Malam tadi, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan nama-nama bakal calon yang akan bertanding di PRU15.

PN meletakkan calon dari parti-parti komponennya iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan Kumpulan Bersekutu di 169 kerusi Parlimen. Pengumuman nama-nama bakal calon PN akan menerima watikah masing-masing esok, Khamis.

PRU15 ini sebenarnya menyaksikan buat pertama kalinya parti PN yang baharu ditubuhkan itu bertanding dalam pilihan raya umum.

Malam tadi juga, PN turut meletakkan calon-calon yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di peringkat DUN, kata Muhyiddin, PN meletakkan calon di 116 DUN yang akan bertanding menggunakan simbol PN kecuali Kelantan dan Terengganu yang calon-calonnya akan menggunakan lambang PAS, bulan atau sebutan dalam loghat Kelantan, bule.

Muhyiddin yakin PN mampu menang dan seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan pada 20 November walaupun ia paeti baharu.

Kata Muhyiddin, untuk menang PN ada strategi dan perinciannya akan diterjemahkan dalam Manifesto PN nanti.

Tegas bekas Perdana Menteri itu, sebahagian rakyat menerima PN dengan baik dan itu menyuntik semangat jentera PN untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan 112 daripada 222 kerusi Parlimen berpihak kepada PN.

Untuk makluman, malam tadi, pemimpin tertinggi dalam PN hadir pada majlis tersebut termasuk Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dari parti Gerakan dan Tuan Man Tuan Ibrahim (PAS) yang mewakili Datuk Seri Hadi Awang.

Kata Muhyiddin, “Rakyat bukan sekadar mahukan sebuah kerajaan yang stabil tetapi prihatin, bersih dan bebas rasuah.”  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button