Pengundi muda diingatkan tidak lupa janji palsu parti-parti politik pada PRU14
PENGUNDI muda yang baru pertama kali menunaikan tanggungjawab mengundi, diingatkan tidak lupa janji-janji palsu yang ditabur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sebelum menterjemahkan pilihan masing-masing di kertas undi pada PRU15.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia bagi memastikan mereka tidak terperdaya dengan tawaran-tawaran kosong, yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan oleh parti-parti politik tertentu.
“Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 telah membawa satu manifesto yang telah menjanjikan tawaran ekstrem seperti menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun gagal melaksanakannya.
Bukan itu saja malah mereka turut berjanji hendak hapuskan tol serta turunkan harga minyak ke tahap minimum. Itu pun tak boleh dilaksanakan juga.
Maknanya mereka ini bagi memberikan manifesto yang tiada harapan sebenarnya. Justeru kepada anak-anak muda, lebih baik mereka pertimbangkan tawaran lebih praktikal yang boleh dilaksanakan bersandarkan kepada kedudukan kewangan, kemampuan dan kebolehan kerajaan selepas ini.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sembang Santai Pemimpin Institusi di FELCRA Kubang Kenyeng di Padang Terap, hari ini.
Beliau diminta mengulas manifesto PH yang dinamakan sebagai Tawaran Harapan yang dilancarkan baru-baru ini.
Jelas Mahdzir, dalam PRU kali ini BN dilihat menawarkan manifesto atau tawaran yang lebih praktikal berbanding gabungan-gabungan politik lain.
“Kebanyakan tawaran berasaskan kepada Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan di Parlimen sebelum ini, boleh dikatakan semua golongan terlibat dalam tawaran tersebut termasuk wanita, anak muda, dewasa, veteran, kanak-kanak dan pesara kerajaan.
Sama ada mereka tinggal di bandar atau luar bandar, semuanya terlibat dalam tawaran dikemukakan BN, anak-anak muda juga tidak dilupakan dalam pakej tawaran tersebut termasuk pendidikan berkaitan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta jaminan peluang pekerjaan pada masa depan berasaskan industri Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta teknologi hijau yang dikemukakan,” katanya.
Dalam manifesto PH menyatakan komitmen untuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan kadar terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).
Sebelum itu, media turut melaporkan mengenai janji Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa tol PLUS akan dimansuhkan sekiranya PH menang dalam PRU15.
Perkara itu turut mendapat reaksi Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hairan dengan tindakan PH mengulangi janji yang disifatkan sebagai tidak boleh dilaksanakan. – SM
Artikel berkaitan > UMNO nafi akan bergabung dengan PH selepas PRU15