Pengganas dimuliakan di zaman Malaysia baru, apa lagi selepas ini?
KUALA LUMPUR – Perhimpunan lebih 300 orang yang turut dihadiri bekas anggota pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang berlangsung di New Era College Kajang semalam menimbulkan banyak persoalan.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, penyeludupan masuk abu mayat ketua pengganas PKM, Chin Peng pada 16 September lalu seolah-olah merupakan permulaan langkah untuk memuliakan pergerakan komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara
Asyarf Wajdi mengulas perhimpunan yang turut dihadiri sekumpulan bekas anggota pengganas PKM bagi mengingati Perjanjian Damai Hat Yai sempena ulangtahun ke-30 perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989 hari ini.
Perhimpunan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Selain Ronnie, beberapa bekas anggota PKM turut berucap pada perjumpaan itu.
“Rupa-rupanya isu abu bapa pengganas Malaya Chin Peng hanyalah permulaan kepada gerakan untuk kembali merubah naratif sejarah tanahair dengan cubaan mengiktiraf dan memuliakan gerakan pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan,” kata Asyraf Wajdi.
“Perhimpunan yang melibatkan kira-kira 300 bekas pengganas komunis yang turut dihadiri pimpinan PKR dan DAP makin menyerlahkan warna sebenar kerajaan PH hari ini yang sedikit demi sedikit cuba merobek asas-asas negara-bangsa yang dibina selama ini.
“Pimpinan tertinggi DAP Ronnie Liew dengan bangga juga membuat pengisytiharan bahawa datuk dan abangnya juga adalah ‘pejuang komunis’ (dibaca pengganas),” kata Asyraf Wajdi.
Ronnie dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini mengakui datuk dan abangnya merupakan anggota pergerakan PKM.
Ronnie ketika berucap mendedahkan beliau hadir ke perjumpaan itu atas kapasiti peribadi untuk memperingati penglibatan datuknya bagi membebaskan Malaya daripada British selepas berjaya menghalau Jepun keluar daripada negara ini. Dedah Ronnie, datuknya kemudian dibuang negara ke China selepas ditangkap.
Selain Ronnie, antara yang berucap adalah salah seorang bekas anggota PKM, Tan Yi Yu yang menyifatkan perjumpaan itu bukan sahaja untuk mengingati sejarah mereka tetapi juga untuk membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.
“Nampaknya di zaman Kerajaan PH ni, Malaysia baharu semuanya nak diberikan tempat. LGBT, pengganas LTTE, pengganas Komunis. Agaknya apa lagi lepas ni?” kata Asyraf Wajdi.
Media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah diseludup masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.
Abu mayat bekas pemimpin pengganas komunis itu dilaporkan dibawa ke Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.
Sebelum ini media turut melaporakn dua Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) DAP antara 12 individu ditahan selepas dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) .-SM