fbpx
Politik

Zahid jangan hanya cakap, tapi bikin tak serupa cakap

MENDENGAR amaran yang diberikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan mengambil mereka yang berpaling tadah sebagai calon melegakan penyokong tegar di akar umbi.

Jika mendengar gelaran yang diberikan oleh Ahmad Zahid kepada kumpulan itu sebagai reptilia melompat memberi gambaran beliau yang juga Presiden UMNO sudah berpatah arang dengan kelompok tersebut.

Ahmad Zahid sendiri tentunya boleh melihat bagaimana orang yang rapat dengannya boleh berpaling tadah semata-mata untuk kepentingan diri.

Golongan ini hanya berpura-pura sebagai pejuang ketika BN dan UMNO berkuasa kerana mendapat manfaat daripadanya.

Sebagai Pengerusi BN dan presiden parti yang terbesar di negara ini, adalah kurang bijak jika Ahmad Zahid tidak dapat membaca suara dan rintihan akar umbi.


Pasca PRU14, UMNO kekal menjadi kuat, UMNO kekal berdiri bukan disebabkan oleh pemimpin. Tetapi kerana sokongan akar umno yang tidak berbelah bahagi.

Selepas BN dan UMNO dibungkuskan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu, ramai pemimpin UMNO yang melompat ke parti kerajaan demi untuk menyelamatkan `nyawa’ masing-masing.

Ahli parlimen dan ketua bahagian yang martabat mereka diangkat oleh akar umbi telah menjadi reptilia seperti yang disebut oleh Ahmad Zahid itu. Tetapi BN tidak berkubur. Semangat BN tidak luntur. Kenapa? Sebab pegangan dan kepercayaan akar umbi yang tidak berbelah bahagi.

Cuba lihat kemenangan BN di Tanjung Piai dengan majoriti lebig 15,000 undi. Apa faktor utamanya kalau bukan kerana akar umbi BN yang tetap utuh.

Kalau hendak diharapkan kepada pemimpin, ada ura-ura mahu tutup bilik gerakan apabila UMNO tidak menjadi calon. Ada nada-nada kecewa dalam kalangan kepimpinan UMNO negeri dan bahagian apabila calon MCA yang dipilih mewakili BN di PRK Tanjung Piai.

Oleh itu ahli akar umbi lega apabila Ahmad Zahid dengan tegas mengatakan BN tidak akan mengambil ‘reptilia melompat’ itu sebagai calon pada PRU akan datang.

Sepatutnya, bukan sahaja sebagai calon pilihan raya tetapi dalam apa juga jawatan dalam parti dan sebagainya. Mereka ini pembelot yang tidak sepatutnya diberikan apa-apa ruang dalam parti.

Golongan ini hanya berjuang untuk kepentingan diri sendiri. Kalau mereka senang dan berjawatan ahli akar umbi yang menjadi pendokong untuk BN kembali bangkit ini belum tentu senang.

Sebab itu Ahmad Zahid kena ingat apa yang diucapkan dan dikatakan hadapan 1,499 perwakilan MCA pada  perhimpunan agung MCA kali ke-66.

Jangan hanya cakap sekadar sedap mulut selepas itu apabila tibanya masanya lain pula alasan diberikan.

Diharapkan Ahmad Zahid mengotakan katanya ini. Sebab, ini bukan kali pertama pemimpin tertinggi BN bercakap begitu. Tetapi, ada antaranya hanya sekadar cakap. Tetapi bikinnya tidak serupa dengan apa yang dicakap.

Apabila tiba masanya macam-macam alasan diberikan untuk memberi ruang kepada para reptilia melompat untuk menjadi calon. Itu punca orang meluat.

Lihat sebelum ini, bagaimana orang yang baru beberapa hari keluar dari PKR diberi macam-macam peranan penting dalam parti. Sedangkan ahli yang berjuang puluhan tahun tidak diberikan layanan istimewa seperti itu.

Yang lompat dan diterima semula dalam parti kemudian diberi jawatan pun ramai juga.

Kebangkitan semua BN dan UMNO selepas ini adalah perjuangan akar umbi. Kalau kita lihat kepada reputasi dua tiga orang pemimpin BN sekarang, mustahil BN dapat bangkit kerana mereka.

BN dan UMNO hanya mampu bangkit kerana sokongan dan dokongan daripada akar umbi.   Kesetiaan para ahli diperingkat cawangan dan bahagian yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi itulah yang menjadi penyambung hayat kepada BN dan UMNO hari ini.

Tanpa semangat akar umbi seperti ini BN dan UMNO tentu sudah dikafankan pada Mei 2018.

Sebagai pemimpin utama BN, Ahmad Zahid kena pastikan beliau benar-benar maksudkan dengan apa yang dikatakannya itu.

Kita berharap kata Ahmad Zahid tentang ‘reptilia melompat’ itu bukan sekadar pemanis atau penyeri majlis. – SM

Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button