Nasional

Pengarah agensi didakwa, iklan haji tanpa lesen

Seorang pengarah sebuah agensi pelancongan didakwa di mahkamah sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji menggunakan visa furada (visa haji persendirian) tanpa mempunyai lesen sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH), pada Mei tahun ini.

Agus Rizal Mat Ali, 50, pengarah UC Travel Sdn Bhd, didakwa mengiklankan perkhidmatan pakej haji menggunakan visa furada untuk musim 2022M/1443H di laman Facebook syarikat itu, mendakwa dia boleh mengatur perjalanan untuk tujuan ziarah ke tanah suci walaupun syarikat itu tidak mempunyai lesen pengendali haji yang sah daripada TH.

Agus Rizal didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota, di sini pada 9 Mei lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (2) undang-undang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding di hadapan hakim Kamarudin Kamsun, pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak dan Hanis Anisha Jamilludin manakala Agus Rizal, yang mengaku tidak bersalah, diwakili peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan dan Ho Cheng En.

Related Articles

Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan sebanyak 132 laporan polis berkaitan kes penipuan pakej menunaikan haji dan umrah menggunakan visa furada telah dibuat setakat 31 Julai lalu membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata seramai 336 mangsa terlibat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button