Nasionalpilihan

Pengantarabangsaan pendidikan tinggi terus diperkasa

Pengantarabangsaan Malaysia dalam pendidikan tinggi di peringkat global ini semakin mendapat perhatian daripada negara lain dan akan terus diperkasakan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk  Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Katanyam, ketika menyertai The Education World Forum (EWF) 2024, London, United Kingdom, beliau berkesempatan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan.

“Antaranya dari Tarjikistan, Azerbaijan, Jepun, Microsoft dan Konsortium Universiti United Kingdom-Malaysia (UK-MUC).

“Dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Sains Tarjikistan, TYT Nuriddin Said, beliau menyatakan hasrat bekerjasama dengan Malaysia untuk menaik taraf bidang pendidikan mereka.

“Pada masa sama, program pertukaran pelajar akan diteruskan yang mana jumlah pelajar Tarjikistan kini lebih 200 orang di Malaysia.

“Perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Azerbaijan, TYT Emin Amrullayev seterusnya membolehkan kami berbincang mengenai kerjasama yang dapat dibentuk antara kedua-dua negara. TYT Emin memaklumkan bahawa Azerbaijan sangat berharap untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan untuk menghantar lebih ramai pelajarnya bagi menyambung pengajian.

“Selain itu, lawatan Perdana Menteri ke negara Asia Tengah juga telah membuka ruang untuk negara-negara lain di sekitar dalam bekerjasama dengan Malaysia menerusi pelbagai bidang bersandarkan keyakinan dan
kualiti yang dibawa oleh delegasi Kerajaan Malaysia.

“Azerbaijan juga dalam usaha membangunkan semula pendidikan tinggi mereka di kawasan Karabakh dan mereka turut menyatakan harapan sekiranya Malaysia dapat turut membantu dan berkolaborasi dalam hal ini.

“Dalam pertemuan saya dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, beliau menyatakan kesediaan negara itu untuk berkongsi pengalaman dalam perihal Programme for International Student Assessment (PISA).

“Kami juga berbincang untuk melihat dan memartabatkan semula kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kolaborasi antara institusi Malaysia dan Jepun.

“Pertemuan dengan pihak Microsoft menjurus kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI). Peluncuran Malaysia AI Nexus mendorong Microsoft untuk terus bekerjasama secara aktif dengan Malaysia melalui KPT.

“Kerjasama pendidikan antara United Kingdom dan Malaysia terus diperkukuhkan melalui Konsortium Universiti UK-Malaysia (UK-MUC) dengan pelbagai program peringkat tinggi terus direncanakan.

“EWF sememangnya mengumpulkan ramai Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi yang membolehkan perkongsian antara negara bagi menjadikan pendidikan sebagai wadah utama untuk pembangunan masyarakat dan negara.

“Pengantarabangsaan Malaysia dalam pendidikan tinggi di peringkat global ini semakin mendapat perhatian daripada negara lain dan akan terus diperkasakan,” katanya dalam kenyataan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button