MahkamahNasional

Penganjur festival Aidilfitri mengaku tak salah tipu penyewa tapak

SEORANG Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penganjur acara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menipu berhubung penganjuran Festival Hooray X Fest Raya, April lalu.

Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, Alif didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Festival Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTCKL pada pukul 2.34 pagi, 19 April lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Peguam Zamri Idrus yang mewakili Alif memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu dengan kos mencecah RM1,050.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Marisqa kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 27 Julai ini bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula pada 18 April lalu di WTCKL dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri. – SUMBER FMT – SM

BACA Sewa tapak Bazar Aidilfitri Mega Klebang tidak lebih RM5,000

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button