Nasional

Penetapan tarif elektrik di Semenanjung mengambil kira kebajikan, kesejahteraan rakyat

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada 20 Disember 2024, Kerajaan menekankan sekali lagi bahawa PETRA bersama-sama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk
dilaksanakan bermula pada Julai 2025.

Oleh yang demikian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa PETRA tidak  dirujuk serta dimaklumkan oleh TNB terkait pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.

“Untuk makluman, tiada sebarang keputusan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dibuat sehingga
kini. Seperti ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Berkait dengan perkara tersebut, ingin dijelaskan bahawa semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapatnya keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.

‘Dalam tempoh kawal selia ketiga (Regulatory Period 3 – RP3) (2022 – 2024), unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar 79 USD/matrik tan dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat (two tier pricing) menggunakan formula Reference Market Price (RMP).

“Peringkat pertama bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24/MMBtu dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu.

“Manakala, harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.

“Namun, pasca COVID-19 dan krisis tenaga global, harga bahan api telah meningkat secara mendadak yang mana harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) (2025 – 2027) diunjurkan pada kadar 97 USD/matrik tan dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd) akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu. Manakala, harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu,” katanya dalam kenyataan.

Bagi pengguna kategori domestik dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Kerajaan terus komited untuk melindungi mereka supaya tarif elektrik yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar.

Selain itu, pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan diteruskan. Ini akan memastikan 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah
tidak akan terkesan.

Pengguna kategori komersial dan industri yang menggunakan elektrik yang banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik mereka pada kadar yang sebenar.

Namun, pengguna kategori ini mempunyai alternatif di mana Kerajaan menggalakkan mereka memasang
solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing serta mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga seperti melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga – Energy
Service Company (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di pepasangan dan premis mereka.

Kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif
elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh Kerajaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button