Nasional

Pendirian konsisten cara terbaik tangani tindak tanduk China – Anifah

KERAJAAN perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan pemantauan rapat dan membayangi (close surveillance and shadowing) sebagai tindak balas terhadap aktiviti survei oleh kapal-kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kapal agensi penguatkuasaan maritim (MMEA) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersaiz kecil mungkin tidak mampu menghalang kapal China tetapi sekurang–kurangnya Kuala Lumpur menzahirkan tekad untuk tidak membiarkan perbuatan sesuka hati sedemikian.

Dalam surat beliau kepada Perdana Menteri hari ini, tegas Anifah, dengan cara itu negara boleh meneliti dan memahami setakat mana Beijing akan bertindak balas terhadap Malaysia.

“Seterusnya pihak kerajaan melalui Menteri Luar Negeri wajar menzahirkan ketidaksenangan terhadap kehadiran kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

“Kenyataan ini boleh disusuli dengan nota bantahan diplomatik kepada pihak China. Tindakan–tindakan ini akan memastikan kepentingan strategik negara tidak terjejas.

“Saya berpandangan pendirian yang konsisten dan berprinsip adalah merupakan cara terbaik untuk menangani tindak tanduk China.

“Dalam masa sama, pertimbangan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan mestilah berdasarkan kepentingan nasional dan pertimbangan lain seperti keperluan menjaga air muka China dan sebagainya menjadi pertimbangan sekunder,” kata beliau, yang dipetik media dalam surat berkenaan.

Baru-baru ini China mempertahankan tindakannya yang memberikan nama kepada 80 pulau dan ciri geografi lain di Laut China Selatan, sekali gus dilihat sebagai langkah menimbulkan kemarahan kepada jiran ketika negara itu menegaskan tuntutan wilayahnya.

Pengumuman bersama penamaan itu pada Ahad lalu oleh Kementerian Sumber Asli dan Kementerian Hal Ehwal Sivil dibuat sehari selepas China menubuhkan daerah pentadbiran baharu untuk rangkaian pulau Spratly dan Paracel yang menjadi pertikaian.

Notis itu menyenaraikan nama dan koordinat terhadap 80 pulau, terumbu, dasar laut, beting dan rabung di mana 55 daripadanya berada di dalam laut.

Dalam beberapa tahun terakhir ini, Beijing meningkatkan tuntutan wilayahnya di Laut China Selatan dengan membangunkan pulau buatan dan kehadiran pasukan tentera besar, yang menjadi punca kepada ketegangan geopolitik.

Menurut Anifah, beliau turut berpandangan wujud keperluan untuk kerajaan menubuhkan satu entiti khas bagi mengendalikan isu–isu maritim Malaysia meliputi isu pembatasan sempadan maritim dengan negara–negara jiran, isu Laut China Selatan, maritime economic and blue economy dan sebagainya.

“Perkara ini telah saya bangkitkan dahulu tetapi penubuhannya tidak sempat direalisasikan ekoran perubahan kerajaan pada tahun 2018.

“Saya berpandangan penubuhan entiti khas ini akan membolehkan isu maritim dikendalikan secara komprehensif, bersepadu dan terselaras. Entiti khas ini melapor terus kepada YAB Perdana Menteri dan dengan itu meminimumkan pertimbangan politik di peringkat menteri dan kementerian,” kata beliau.

Anifah menjelaskan, isu Laut China Selatan merupakan isu berkeutamaan tinggi kepada Malaysia sejak dahulu lagi.

“Seperti yang Tan Sri sedia maklum juga, isu ini menjadi antara isu utama yang dibincangkan di dalam Mesyuarat–Mesyuarat Kabinet bagi tempoh 2009–2016 sewaktu Tan Sri menjadi Timbalan Perdana Menteri dan saya merupakan Menteri Luar Negeri.

“Sejak sekian lama, Malaysia mengambil pendirian yang konsisten dan berprinsip berhubung Laut China Selatan meliputi isu kedaulatan, hak kedaulatan, ekonomi, politik, keselamatan dan sebagainya. Pendekatan yang konsisten dan berprinsip ini tidak disenangi oleh China tetapi China menghormatinya,” kata beliau.

Tegas beliau lagi, Malaysia tidak akan dapat mempertahankan kepentingan strategik tanpa pendirian yang konsisten dan berprinsip.

Antara elemen utama pendirian itu ialah Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim Malaysia kerana tuntutan China berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS).

“Kehadiran kapal China di dalam kawasan perairan Malaysia bukan untuk tujuan pelayaran berlaku buat kali pertama dalam tahun 2012 apabila kapal Pengawal Pantai China mengganggu aktiviti kajian seismik yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor PETRONAS.

“Bagaimanapun, kapal China tersebut tidak mengambil tindakan yang keras seperti melanggar dan menghimpit (ramming) seperti yang berlaku di antara China dengan Vietnam dan China dengan Filipina.

“Salah satu teori yang dibangkitkan berhubung tindak tanduk China yang berbeza ini adalah kerana China mengenang peranan Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengannya. Walau bagaimanapun, teori ini tidak dapat disahkan,” katanya.

Dalam hal ini, kata Anifah, Malaysia telah memprotes tindakan China tersebut dan selaku Menteri Luar pada masa itu, beliau telah memberi kenyataan kepada pihak media dan membangkitkan ketidaksenangan Malaysia berhubung tindak tanduk China dengan rakan sejawatannya dari negara itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button