Nasional

Pusat Kuarantin MAEPS terima kemasukan 12 pesakit COVID-19

PUSAT Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang, menerima 12 pesakit kategori tidak bergejala sejak Selasa lepas.

Pengarahnya, Dr. Md Anuar Abd Samad@Mahmood berkata jumlah pesakit tertakluk kepada penerimaan maklumat mengenai pesakit daripada hospital COVID-19 di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata pihaknya turut menerima maklum balas daripada hospital COVID-19 lain antaranya Hospital Seremban dan Rembau di Negeri Sembilan yang pesakitnya memenuhi kriteria sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan untuk ditempatkan di sini.

“Untuk tujuan itu, dua buah dewan digunakan di sini, bagi penempatan pesakit COVID-19. Berkemungkinan petang ini kita akan menerima pesakit dari Hospital Sungai Buloh untuk ditempatkan di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS di sini, hari ini.

Dr Md Anuar berkata sebanyak 64 daripada 400 buah katil pesakit sudah boleh digunakan untuk pesakit di Dewan A.

“Manakala 202 buah katil di Dewan C dikhaskan buat petugas kesihatan bergejala dan tidak bergejala akan turut mula digunakan dalam masa terdekat,” katanya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit COVID-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Pusat kuarantin sementara itu mampu menempatkan sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa dan ia diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.- BERNAMA

(Visited 501 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button