Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan pendirian Amerika Syarikat (AS) terhadap penempatan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak masuk akal kerana ia bagaikan mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.
Mengulas laporan yang memetik Setiausaha Negara AS Mike Pompeo yang mengumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram, Dr Mahathir berkata ia satu tanggapan yang secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina penempatan mereka, itu adalah sah di sisi undang-undang. Kita tidak boleh buat apa-apa,” kata beliau yang dipetik daripada kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri dan dilapor Bernama.
Dr Mahathir juga melahirkan perasaan bimbang kerana pengumuman yang dibuat pentadbiran Trump itu akan menggalakkan lagi kekejaman pasukan tentera Israel yang kini sedang ghairah melakukan pembunuhan kejam dan serangan ganas ke atas Gaza dengan laporan-laporan yang mendedahkan kanak-kanak antara yang terkorban.
“Anda mengumumkan bahawa penempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan serangan ke atas Gaza tanpa alasan … tidakkah ia bagai menggalakkan mereka untuk terus membunuh kanak-kanak dan orang awam dan mereka tidak akan dihukum.
Sebaliknya mereka akan mendapat ganjaran dengan mendirikan penempatan di atas tanah orang yang mereka bunuh,” kata perdana menteri.
Langkah pentadbiran Trump itu menimbulkan kemarahan antarabangsa kerana perubahan pendirian AS itu melencong daripada ketetapan pentadbiran AS pada 1978 bahawa kewujudan penempatan itu tidak selari dengan undang-undang antarabangsa.
Dr. Mahathir ialah antara pemimpin dunia yang terkenal sering mengkritik dan memperjuangkan isu berkaitan Israel dan Palestin. Sabtu lalu lalu Israel menghentikan sementara serangan ke atas Palestin selepas melancarkan serangan udara yang membunuh lebih 30 orang penduduk di wilayah bergolak itu.
Israel memberi alasan serangan udara secara besar-besaran itu untuk menjaga keselamatan penduduknya dan dilancarkan bagi membalas serangan roket yang dilancarkan dari Gaza.