Luar Negara

Pencerobohan Rusia beri tamparan hebat kepada ekonomi Ukraine

PENGELUARAN ekonomi Ukraine dianggarkan Bank Dunia, menguncup 45.1 peratus tahun ini berikutan pencerobohan Rusia yang menyebabkan perniagaan ditutup, kurangnya eksport dan menjadikan aktiviti ekonomi mustahil di sebahagian besar negara itu.

Dalam laporan terkininya semalam, Bank Dunia meramalkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Rusia pada 2022 akan jatuh 11.2 peratus disebabkan sekatan kewangan dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya ke atas bank Rusia serta perusahaan dan institusi lain milik negara itu.

Kemas kini ekonomi ‘War in the Region’ oleh Bank Dunia berkata, rantau Eropah Timur, terdiri Ukraine, Belarus dan Moldova, diramal menunjukkan penguncupan KDNK sebanyak 30.7 peratus tahun ini, disebabkan kejutan daripada perang dan gangguan perdagangan.

Pertumbuhan pada 2022 di rantau Eropah Tengah terdiri Bulgaria, Croatia, Hungary, Poland dan Romania, akan dikurangkan kepada 3.5 peratus daripada 4.7 peratus sebelum ini, disebabkan kemasukan pelarian, harga komoditi lebih tinggi dan keyakinan merosot yang menjejaskan permintaan.

Bagi Ukraine, laporan Bank Dunia menganggarkan lebih separuh daripada perniagaan negara itu ditutup, manakala yang lain masih dibuka dan beroperasi dengan baik di bawah kapasiti normal.

Penutupan perkapalan Laut Hitam dari Ukraine memotong kira-kira 90 peratus daripada eksport bijirin negara dan separuh daripada jumlah eksportnya.

Bank Dunia berkata, perang menyebabkan aktiviti ekonomi mustahil untuk dirangsang di sebahagian besar negara dan mengganggu operasi penanaman serta penuaian hasil pertanian.

Mengenai anggaran penguncupan 45.1 peratus, bank terbabit berkata ia tidak termasuk kesan kemusnahan infrastruktur fizikal, namun menyatakan ini akan menjejaskan pengeluaran ekonomi masa depan, bersama-sama aliran keluar pelarian Ukraine ke negara lain.

Bank Dunia memaklumkan magnitud penguncupan Ukraine tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi sepanjang tempoh dan intensiti perang.

Naib Presiden Bank Dunia untuk Eropah dan Asia Tengah, Anna Bjerde berkata, pencerobohan Rusia memberikan tamparan hebat kepada ekonomi Ukraine dan ia menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur.

“Ukraine memerlukan sokongan kewangan yang besar dengan segera kerana ia bergelut untuk mengekalkan ekonominya dan kerajaan berusaha untuk menyokong rakyat yang menderita serta menghadapi situasi melampau.

“Bank Dunia telah mengumpulkan kira-kira AS$923 juta dalam bentuk pinjaman dan geran untuk Ukraine, selain sedang menyediakan pakej sokongan selanjutnya membabitkan nilai lebih AS$2 bilion.

“Bantuan itu membantu Ukraine membayar gaji pekerja penting dan membuat pembayaran pencen serta hutang kerajaan, walaupun hasil cukai berkurangan secara drastik,” katanya dalam kenyataan. – REUTERS – SM

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button