Penasihat khas PM cadang haram iklan produk pemutih kulit
Ada yang melihat kulit yang cerah sebagai tanda ketuanan atau lebih cantik
PENASIHAT Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mencadangkan agar sebarang bentuk iklan berkaitan produk pemutih kulit diharamkan.
Menurut Dr. Jemilah pengharaman itu perlu agar masyarakat bergerak maju ke hadapan tanpa melihat kepada warna kulit.
Pemenang ASEAN Prize 2019 itu berkata, ada yang melihat kulit yang cerah sebagai tanda ketuanan atau lebih berdarjat daripada orang lain. Malah ada yang melihat hanya warna kulit putih sebagai tanda kecantikan.
“Saya mencadangkan agar iklan produk pemutihan kulit dilarang.
“Kita perlu bergerak maju dan tidak melihat warna putih sebagai tanda ketuanan atau keindahan. Saya bangga berkulit coklat,” kata bekas Presiden MERCY Malaysia itu.
Kenyataan Dr. Jemilah hadir di tengah-tengah kontroversi penggunaan perkataan gelap dan pakai bedak di Dewan Rakyat semalam.
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang telah memohon maaf hari ini kerana menggunakan perkataan gelap berkata, beliau tidak ada sebarang niat untuk memanggil sesiapa gelap kerana beliau sendiri berkulit gelap.
“Dua tahun saya duduk di tempat yang sama di situ, sememangnya kawasan itu gelap dan tidak dapat perhatian Speaker.
“Saya hendak beritahu netizen di luar sana saya tiada niat panggil sesiapa gelap sebab diri saya sendiri pun ALLAH takdirkan saya gelap. Dengan ini saya tarik balik dan memohon maaf,” katanya.
Persidangan semalam kecoh apabila Abdul Azeez dikatakan mengeluarkan kenyataan rasis dan seksis dengan menyebut perkataan gelap kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan menyuruh wanita itu memakai bedak
Beberapa ahli Parlimen meminta Abdul Azeez menarik balik perkataan itu sehingga menyebabkan Dewan Rakyat menjadi riuh rendah sehingga terpaksa ditamatkan awal petang semalam.-SM