Pemuda UMNO mohon gencatan politik, tumpu hadapi krisis ekonomi
HENTIKAN perbalahan politik buat seketika, sebaliknya tumpukan usaha untuk menghadapi krisis ekonomi.
Itu saranan Pergerakan Pemuda UMNO yang bimbang dengan situasi ekonomi sekarang ekoran kejatuhan harga minyak dunia.
Parti dan pemimpin perlu mengadakan gencatan politik dan memberi peluang kepada kerajaan baharu yang barisan Kabinetnya diumumkan semalam untuk fokus kepada kerja-kerja pentadbiran khususnya persediaan membantu rakyat menghadapi krisis ekonomi.
“Gencatan politik juga harus segera dilakukan agar perbalahan dapat ditangguhkan seketika bagi membolehkan semua pihak digemblengkan untuk bersama-sama berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi yang bakal melanda dan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan.
Katanya, kejatuhan harga minyak dunia yang menjunam sehingga 31 peratus kepada USD30 setong sebagaimana yang dilaporkan Bloomberg kelmarin merupakan berita yang amat serius.
“Ini merupakan cabaran terbesar bagi Kerajaan Baharu yang mewarisi polisi ekonomi Kerajaan PH yang terlalu bergantung kepada sumber minyak sebanyak 3 kali ganda atau 33% daripada hasil negara.
“Zaman Kerajaan BN kebergantungan kepada minyak telah turun daripada 41 peratus kepada hanya 13 peratus daripada hasil negara,” katanya.
Unjuran Bajet 2020 Kerajaan PH terdahulu katanya, menyasarkan hasil minyak berpandukan harga minyak dunia pada nilai USD62 setong.
“Dengan penurunan mendadak kepada USD30 ini pastinya meletakkan ekonomi negara pada keadaan yang begitu meruncing.
“Ditambah pula dengan pelbagai polisi populis PH sebelum ini yang menyebabkan keadaan ekonomi negara bakal berhadapan dengan kegawatan yang lebih dahsyat! Antara polisi tersebut termasuklah:
(i) Pemansuhan GST hingga menghilangkan hasil negara sebanyak RM30 bilion.
(ii) Pengurangan rizab tunai akibat dijarah RM104 bilion sehingga Petronas diturun penarafan oleh Moody’s bulan Jun lalu buat pertama kali dalam sejarah.
(iii) Penjualan lambak aset-aset negara yang memberi pulangan baik dan mampu pelbagaikan hasil negara oleh Kerajaan PH mengecilkan lagi hasil negara.
(iv) Kegagalan mengawal hutang negara lantaran kenaikan defisit negara yang sepatutnya 0.6 peratus tahun ini menjadi 3.4 peratus. Ini menjadikan hutang negara naik RM140 bilion dan nisbah hutang negara naik dari 48.7 peratus ke 53 peratus dalam masa 21 bulan PH memerintah. ( Zaman BN terdahulu defisit berjaya ditutunkan untuk 8 tahun berturut-turut)
“Faktor-faktor di atas hakikatnya meninggalkan ruang yang amat terbatas untuk Kerajaan Baharu berbuat sesuatu yang benar-benar berkesan bagi menyelamatkan ekonomi negara daripada dilanda krisis.
“Ditambah dengan isu Covid-19 yang makin menular, nilai matawang Ringgit dan pasaran saham yang terus menjunam, meletakkan negara pada kedudukan yang getir untuk memulihkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara.
“Justeru, Pemuda UMNO menyarankan agar Kabinet Baharu dapat segera bertindak untuk mengurangkan impak dari penurunan harga minyak dunia ini, termasuklah menilai kembali Pakej Rangsangan Ekonomi, menaikkan siling kadar hutang negara, intervensi fiskal dan memperbanyakkan program-program khusus yang membantu rakyat secara terus!
“Rakyat juga harus memberikan peluang kepada Kerajaan Baharu yang dibentuk hari ini yang bukan mudah untuk memperbaiki kerosakan besar yang ditinggalkan Kerajaan PH terdahulu,” katanya. – SM