MahkamahNasional

Pemotong rumput didenda RM2,500 keluar kata-kata lucah

Padah mengeluarkan kata-kata berunsur lucah terhadap seorang juruwang kedai serbaneka menyebabkan seorang pemotong rumput didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, Affan Razali, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengeluarkan kata-kata lucah dengan niat mencabul kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang bekerja di kedai serbaneka itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai serbaneka di Jalan Kejora 2A, Taman Perindustrian, Tanjung Minyak Perdana, di sini, kira-kira pukul 4.14 pagi pada 7 Ogos lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat oleh majikan selepas mangsa mengadu ketakutan diganggu lelaki tidak dikenali yang mengeluarkan kata-kata lucah mengenai bentuk dadanya ketika membeli barang di kedai serbaneka tersebut.

Hasil siasatan dan pemeriksaan terhadap video kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu membawa kepada penahanan tertuduh.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran diberikan kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan mengakui sudah insaf atas kesilapannya kerana tidak dapat mengawal nafsu ketika kejadian.

Tertuduh juga perlu menanggung isteri yang tidak berkerja dan tiga anak masih kecil.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM2,500 atau tiga bulan jika gagal bayar denda. – SM

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button