Luar Negara

Pemimpin tunjuk perasan yang masih diikat jamin, ditahan sertai protes di Bangkok

Polis Thailand menahan pemimpin penunjuk perasaan, Jatupat Boonpathararaksa bersama 20 lagi peserta tunjuk perasaan kerana melanggar Dekri Darurat dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.

Jatupat Boonpathararaksa ditahan selepas mengetuai sekumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan di luar Biro Pencegahan Narkotik (NSB) di Jalan Vibhavadi Rangsit pada Isnin, menuntut pembebasan tiga penunjuk perasaan yang ditahan pada Ahad malam.

Pada Ahad, penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di jalan-jalan di Bangkok bersama ratusan kereta dan motosikal, mengulangi semua tuntutan mereka selama ini antaranya pembaharuan politik dan peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.

Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Jeneral Piya Tawichai berkata 11 orang ditangkap semasa tunjuk perasaan pada Ahad kerana melanggar perintah darurat dan undang-undang kawalan penyakit berjangkit.

“Sebanyak 13 anggota polis cedera dalam tunjuk perasaan itu,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Beliau mempertahankan tindakan polis yang menembak gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan setelah memberi amaran berulang kali.

Katanya, polis mematuhi prosedur operasi standard antarabangsa dalam menyuraikan orang ramai.

Pada April, Jatupat dan aktivis politik Somyos Prueksakasemsuk menghadapi pelbagai tuduhan termasuk lese-majeste kerana menyertai tunjuk perasaan pada September tahun lalu. Kedua-duanya diikat jamin dengan bersyarat oleh Mahkamah Jenayah pada pertengahan April.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button