Politik

Pemimpin politik bersyukur rakyat Malaysia dapat menyambut Aidilfitri tanpa sekatan yang ketat

SELEPAS dua tahun terpaksa menyambut Aidilfitri dalam suasana yang terhad akibat pandemik Covid-19, pemimpin politik melahirkan rasa syukur kerana rakyat Malaysia dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa sekatan.

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara memanjangkan rasa syukur dapat menyambut hari raya dalam satu hantaran video di Facebook rasminya kelmarin.

“Alhamdulillah, tahun ini Hari Raya kita kembali normal seperti tahun-tahun sebelum pendemik Covid-19, walaupun masih mengikut prosedur operasi standard seperti yang telah ditetapkan. Ini semua hasil dari tindakan kerajaan dan rakyat yang komited dalam membendung penularan pendemik Covid-19 ini”

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula melahirkan rasa terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas semasa Hari Raya.

“Semasa kita menyambut Hari Raya bersama keluarga, marilah kita berdoa agar pegawai dan anggota (keselamatan) kita berada dalam keadaan sihat dan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan selamat,” katanya dalam catatan Facebook pada hari semalam (2 Mei).

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Ramadan dan Syawal tahun ini disambut seperti sebelum wabak itu melanda, dengan umat Islam dibenarkan menjalankan ibadah serta menziarahi keluarga dan sanak saudara.

“Hari raya ini, kita dapat bersama ibu bapa dan orang tersayang, bersalaman dan beristighfar secara fizikal, menunaikan solat berjemaah hari raya, menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga, semua ini secara bersemuka sedangkan sebelum ini semuanya hanya dapat dilakukan secara dalam talian,” kata pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu dalam mesej video di Facebook.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam catatan Facebook, berkata beliau berharap orang ramai dapat memanfaatkan masa perayaan untuk bersama keluarga, terutama mereka yang masih mempunyai ibu bapa bersama mereka.

“Sambutan kali ini cukup meriah berbanding dua tahun yang menyedihkan kerana tidak dapat bersama orang tersayang. Jadi, gunakan peluang ini untuk bersama keluarga terutama yang masih mempunyai ibu bapa untuk menzahirkan rasa kasih sayang dan juga untuk mengeratkan hubungan anda dengan rakan-rakan,” katanya.

Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai supaya menyambut Aidilfitri secara sederhana dan selamat. – SM

Baca artikel ini juga > Ucapan Aidilfitri Perdana Menteri Ismail Sabri

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button