Politik

Pemilihan Bersatu: Bekas ahli UMNO boleh bertanding, tetapi bersyarat

SESIAPA juga ahli dari bekas Umno boleh mencuba nasib dalam pemilihan julung kali parti Bersatu pada bulan hadapan, tetapi ia hanya jika mereka bebas daripada “perbuatan jenayah“, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

”Mengikut peraturan mereka tidak boleh bertanding, tetapi kita memberi pengecualian dalam kes tertentu, yang tidak terbabit dalam sebarang perbuatan jenayah.

”Pada umumnya mereka tidak dibenarkan tetapi mungkin ada kes istimewa yang kita akan pertimbangkan,” kata Perdana Menteri selepas melawat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Berhad di Serendah.

Beliau ditanya bagi mengulas mengenai kemungkinan ahli dari bekas Umno bertanding dalam pemilihan parti itu seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Sesiapa yang telah menjadi ahli selama setahun atau lebih boleh bertanding.

Pada awalnya, mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian Bersatu akan diadakan mulai 25 Jan hingga 4 April tetapi kini diarah diadakan dari 15 Feb-18 April berikutan beberapa masalah dalam pendaftaran ahli-ahlinya.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, tidak akan ada perubahan berhubung mesyuarat agung tahunan Bersatu, yang dijadual diadakan mulai 26-28 Jun.

Bersatu mempunyai 377,057 ahli dari 2,946 cawangan di seluruh negara.

Ditanya kemungkinan wujudnya calon yang berkempen pada pemilihan termasuk menggunakan elemen hiburan bagi meraih sokongan, Dr Mahathir berkata golongan seperti ini tidak sepatutnya dilayan.

“Mereka yang nak pegang jawatan tentu akan berkempen senyap atau terbuka. Kita nak supaya mereka yang bertanding hendaklah mereka yang betul-betul bersemangat, bukan nampak peluang untuk nampak jadi ketua bahagian, supaya mereka akan jadi calon pada masa hadapan. Orang macam ni kita tak akan beri layanan sama sekali,” tambahnya.
— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button