Nasional

Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri meningkat kepada RM8.9b

PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik Pemberian serta sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.

“Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

“Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI, penambahbaikan Pemberian kepada Kerajaan Negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi,” kata Anwar.

“Peningkatan Pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak. Walhasil, besarlah harapan saya agar Pemberian ini dapat digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” tambah beliau.

Antara persetujuan yang dicapai semasa Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini
adalah seperti berikut:

1. Menyediakan peruntukan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri sekitar RM8.9 bilion ketimbang RM8.3 bilion pada tahun 2023 dan RM8.1 bilion tahun 2022. Antara peningkatan Pemberian sebagaimana yang diumum dalam Belanjawan 2024 termasuklah:

Pertama: Peningkatan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri kepada RM5.4 bilion ketimbang RM5.2 bilion pada tahun 2023;

Kedua: Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta;

Ketiga: Kenaikan Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (‘Ecological Fiscal
Transfer’; EFT) kepada RM200 juta ketimbang RM150 juta pada tahun 2023;

Keempat: Penambahan Pemberian Khas Tahunan kepada Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023; dan

Kelima: Peningkatan Pemberian kepada Perpustakaan dan Muzium Negeri sebanyak 10% pada tahun 2024.

2. Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri ketimbang RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.

3. Kelulusan permohonan Kerajaan Negeri telah diberikan berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan. Dalam hal ini, Majlis Kewangan Negara meluluskan supaya:

Pertama: Pembelian Jambatan Sementara Bailey (‘Bailey Bridge’) menggunakan peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri secara sekali beri (‘one-off’) bagi tahun 2024; dan

Kedua: Kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sebanyak 10% atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah.

Kerajaan MADANI terus bertekad memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua Kerajaan Negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia. Hasrat ini dizahirkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan Perbelanjaan Pembangunan di semua negeri untuk tahun 2023 dan 2024. – SM

(Visited 35 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button