PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan sembah mengadap Pemangku Gabenor Wilayah Satun Thailand, Chatri Na Thalang di Galeri Diraja, Arau.
Baginda diiringi Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Puteh Soraya A Rahman.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, Dr. Mohd Shaharin Umar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Raja Datuk Azwane Raja Ariff.
Chatri selaku ketua delegasi seramai 10 orang, mempersembahkan hasrat untuk membincangkan kerjasama dua hala jangka masa pendek dan panjang yang boleh dipelopori antara Perlis dan Wilayah Satun kepada Pemangku Raja.
Tuanku Syed Faizuddin Putra pula menzahirkan rasa sukacita dengan kehadiran delegasi dari Thailand ke Perlis.
Baginda berharap agar perjumpaan ini akan mencapai kata putus yang positif dan menguntungkan kedua-dua belah pihak serta lebih banyak lagi kerjasama seperti ini dapat dijalankan dengan para pemain industri dalam pelbagai sektor turut dilibatkan dari masa kesemasa.
Pemangku Raja juga menyarankan agar diwujudkan kerjasama antara para usahawan Perlis dan Satun melalui Dewan Perniagaan masing-masing bagi memperluaskan lagi pasaran sedia ada di samping potensi pelancongan diterokai secara bersama termasuklah promosi destinasi Satun dan juga Perlis melalui papan-papan iklan (billboard). – SM
BACA Kembara sehari ke Satun puas dapat menikmati makanan unik
BACA Inovasi representasi kuih tradisional Melayu di Pasar Sehari Ban Chin, Satun