PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda berdua yang diiringi oleh anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad dan Timbalannya, Senior Asissten Komisioner, Baderul Hisham Baharudin serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM Kontinjen Perlis.
Sejurus berangkat tiba, Baginda berdua berkenan melawat gerai-gerai juadah makanan beraneka jenis yang disediakan di perkarangan IPK Perlis di samping beramah mesra dan bersalaman dengan warga kerja PDRM Kontinjen Perlis.
Surina dalam ucapannya berharap agar majlis tersebut akan dapat merapatkan lagi hubungan, bagi meningkatkan kerjasama sesama anggota untuk memantapkan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab PDRM Perlis.
“Di samping kita merayakan hari yang mulia ini, sama-samalah kita gunakan kesempatan ini untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab supaya matlamat majlis ini diadakan akan tercapai, bergembira menyambut kemenangan dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama insan,” katanya.
Tambahnya, dengan keberangkatan Baginda berdua dan anakanda memantapkan lagi hubungan Istana dan PDRM yang selama ini utuh dan kukuh bagaikan berpisah tiada.
Pemangku Raja Perlis yakin jamuan Aidilfitri di bulan yang mulia ini akan dapat merapatkan lagi hubungan sesama anggota dan bekerja dengan baik bagi memastikan Perlis menjadi negeri yang selamat didiami, harmoni, sejahtera dan sentiasa progresif maju ke hadapan. – SM
BACA Raya Sakan Bersama Cik Muna & Blok Bintong meriah
BACA Pemangku Raja Perlis solat Aidilfitri bersama lebih 1,000 jemaah