Pemangku Raja Perlis tutup Festival Seni, Budaya dan Bahasa KUIPs
PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penutupan dan pengurniaan Piala Pusingan Jamalullail sempena Festival Seni, Budaya dan Bahasa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Dewan Warisan Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor KUIPs, Prof Dr Mohd Rozaimi Ramle, pengurusan tertinggi KUIPs yang bernaung sepenuhnya di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta dif-dif kehormat yang lengkap memakai busana tradisional Melayu.
Festival Malam Deklamasi Puisi berslogankan ‘Citrawarna Pemangkin Ummah’ Perlis Kota Puisi itu dianjurkan oleh KUIPs dengan kerjasama MAIPs, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).
Sejurus berangkat tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Canselor KUIPs berkenan menyalin penulisan al-Quran di lobi dewan sebagai simbolik perasmian.
Antara yang mendeklamasi puisi adalah Muhammad Nur Fiqri Mohd Hajar dan Azmi Samad (KUIPs), Nor Aisyah Ahmad dan Ummu Aiman Azmi (KUIPs), Zalina Ahmad (AKSARA), Norzaidi Hamad (Persatuan Penulis Perlis – 3P), Mohamad Zaki Abdul Halim (UniMAP/AKSARA), Tengku Hamidah Mas Abdullah Akhir (AKSARA),Prof Madya Dr Nor Hasimah Ismail (UUM) dan Juliana Ahmad (UniMAP / AKSARA), Mohd Nazim Mohd Noor (CEO MAIPs) dan Datuk Rahman Shaari (Sasterawan Negara).
Turut dipersembahkan juga pencak silat dan nyanyian nasyid oleh Kumpulan Simfoni. – SM