PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-100 The Old Frees’ Association (OFA) di The OFA Building, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Presiden OFA, Andrew Lim Chong Huat; Presiden OFA Kuala Lumpur dan Selangor, Ivan Ooi Jieun Vei; dan Setiausaha Kehormat OFA, Alex Tan Hee Aik.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran kira-kira 50 tetamu terdiri daripada bekas-bekas Presiden serta kepimpinan OFA.
Kemuncak majlis apabila Pemangku Raja Perlis berkenan melancarkan plaka khas yang telah ditandatangani oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sisi pintu masuk utama bangunan OFA tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa bertitah memuji pasukan pancaragam sekolah tersebut yang membariskan para peserta daripada pelbagai kaum dan semangat perpaduan sebegini mesti dikekalkan malah ditambahbaik pada masa hadapan.
Baginda juga mencadangkan agar inisiatif baru melalui program penghantaran beberapa pelajar dari Perlis ke Penang Free School setiap tahun melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan Yayasan PFS supaya dapat dipertimbangkan.
Andrew Lim semasa berucap menyembah maklum bahawa kekuatan OFA terletak pada perpaduan, diikat oleh rasa kesetiaan ahli-ahlinya.
“Sebagaimana pengasas kita bersatu seratus tahun yang lalu untuk membina sesuatu yang hebat, begitu juga kita harus terus bekerjasama untuk memastikan persatuan kita ini kekal dan memberi banyak kebaikan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Tambahnya lagi, “Kita haruslah berganding bahu untuk terus melahirkan cendekiawan, ahli sukan dan tokoh-tokoh akademik dan terus menjadi produk terbaik Penang Free School”.
Dalam majlis tersebut juga, kapsul masa yang diisi dengan memorabilia, gambar dan mesej ditanam di dalam kawasan rumah kelab oleh Tuanku Syed Zcceh Pancaragam Penang Free School.
Sebagai rekod, Keluarga DiRaja Jamalullail Perlis mempunyai tradisi tiga susur galurnya adalah alumni sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara tersebut iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin dan juga Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setakat ini. – SM