AgamaNasionalNegeri

Pemangku Raja Perlis, Raja Puan Muda zahir Salam Aidiladha

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan anakanda putera Syed Sirajuddin Areeb Putra menzahirkan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1444H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Alhamdulillah dan syukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan Baginda amat baik dan dalam ‘afiyah,” titah Baginda dalam siaran media yang dikeluarkan Istana Arau.

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut bersyukur dan menzahirkan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata.

Selain itu, Pemangku Raja turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.

Semoga segala ibadah korban yang dilaksanakan, akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla.

Pemangku Raja, Raja Puan Muda, serta anakanda berkenan menunaikan solat Aidiladha bersama rakyat jelata di Dataran Istiadat di Istana Arau.

Solat Aidiladha telah diimamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor manakala khutbah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim.

Selesai menunaikan solat sunat, Baginda berdua dan Anakanda turut berkenan menyaksikan ibadah penyembelihan korban di kandang Wan Farizal Wan Din di Kampung Paya, Kangar.

Baginda juga tidak melepaskan peluang untuk melapah daging korban bersama-sama penduduk Kampung Paya Tengah, Paya Batas Tinggi dan Padang Pauh. – SM

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button