Berita

Pemangku Raja Perlis berangkat majlis santapan sempena Ulang Tahun Askar Wataniah

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) Ke-66 yang diadakan di Dewan Serbaguna, Markas Briged Ke-30 Infantri, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS) Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Briged Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Majlis santapan malam ini merupakan sebahagian daripada program Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) Ke-66 yang berlangsung di Perlis selama 3 hari bermula 28 sehingga 30 Jun 2024 yang melibatkan pegawai-pegawai tertinggi Tentera Darat dan Rejimen Askar Wataniah seluruh Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menzahirkan rasa suka cita atas penganjuran dan pemilihan Perlis sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini.

Baginda berharap agar negeri ini akan terus menjadi pilihan utama bagi sebarang aktiviti atau program berskala besar dan peringkat kebangsaan bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang berlangsung.

Titah Tuanku Pemangku Raja, ‘Rejimen Askar Wataniah yang wujud pada hari ini merupakan kesinambungan daripada usaha dan jasa yang telah dikeringatkan oleh perwira-perwira, bintara-bintara dan perajurit-perajurit sebelum ini. Kita di sini menggenggam amanah mereka untuk meneruskan kesinambungan tanggungjawab ini, demi kedaulatan negara Malaysia ibu pertiwi yang sama-sama kita cintai. Jasa dan pengorbanan mereka sebelum ini dikenang sepanjang zaman’.

Terdahulu daripada itu pada sebelah tengaharinya pihak Rejimen 504 Askar Wataniah menerima sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng yang disampaikan sendiri oleh Pengerusinya, Kolonel (Kehormat) Tan Sri Datuk Seri Fng Ah Seng kepada Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button