Ekonomi

Pemangku Raja Perlis bangga ramai usahawan wanita berjaya dewasa ini

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ’Pada era globalisasi ini, golongan wanita semakin giat menceburkan diri dalam dunia keusahawanan dan telah berjaya dalam bidang perniagaan yang sesungguhnya merupakan perkembangan positif dalam memberikan peluang untuk menjana pendapatan yang lumayan’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ‘Kemajuan penglibatan golongan wanita dalam dunia keusahawanan dapat dibuktikan apabila lahirnya cukup banyak usahawan wanita yang mempelopori pelbagai bidang keusahawanan’.

Peranan dan kebolehan kaum wanita dalam dunia keusahawanan secara tidak langsung juga mewujudkan beberapa persatuan atau pertubuhan seperti Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam usaha untuk sama-sama memajukan usahawan Wanita dengan moto “Women in Search of Excellence (WISE)”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Pemangku Raja Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program “Women In Search Of Excelence” (WISE) di Kangar.

Program ini dianjurkan oleh MARA Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman.

Turut menyambut adalah Pengarah Pembangunan Usahawan MARA, Nor Uyon Shoib dan Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin.

Sementara itu, Zulfikri dalam ucapan aluan beliau memaklumkan bahawa terdapat seramai 3,222 orang usahawan dari negeri Perlis yang telah menerima manfaat hasil daripada skim pembiayaan, program latihan serta penyediaan premis perniagaan MARA daripada tahun 2021 sehingga 2024. MARA turut menyediakan sebanyak 342 lot ruang niaga daripada 7,281 premis yang tersedia di seluruh negara.

“Pada tahun 2024, MARA Perlis telah menerima dana pembiayaan perniagaan berjumlah hampir 10 juta ringgit yang mensasarkan seramai 97 usahawan akan menerima manfaat ini. Setakat 31 Mei 2024, hampir 7 juta ringgit telah diperuntukkan kepada 47 orang usahawan melalui skim pembiayaan seperti SPIM, SPIKE, PROSPEC, PUTEK, SPED-NANO, PUTRA dan Dana Nita. 22 orang usahawan daripada jumlah ini adalah golongan wanita”, tambah beliau lagi.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan pembiayaan MARA kepada Azriena Yop dari Syarikat Haquettta Sdn. Bhd, Siti Nur Diana Kamis dari Syarikat ML Racing Shop, Intan Norsaidah Ghazali dari Syarikat Hasnulintan Berkat Sdn. Bhd, Suffiah Walid dari Syarikat Bina Niaga Sdn. Bhd dan Marziyah Ismail dari Syarikat Smart World Management Malaysia Sdn. Bhd.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan agar cabaran dan persaingan dalam dunia perniagaan perlu dijadikan pembakar semangat bagi meningkatkan potensi dan kebolehan kaum wanita yang telah membuktikan bahawa perniagaan dalam dunia global hari ini mampu diterokai dan ditangani oleh kaum Wanita dengan jayanya sekali.

(Visited 17 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button