Pemangku Raja Perlis berkenan saksi Temasya Sukan Asia Tenggara
PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang kini berada di Phnom Penh berkenan berangkat menyaksikan beberapa lagi jenis sukan yang dipertandingkan di Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023.
Baginda berdua diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA, Datuk M. Rajasekaran yang juga anak kelahiran Perlis.
Antara sukan yang ditonton ialah sukan Lawan Pedang, Gusti dan Tae Kwon Do di Pusat Konvensyen Dan Pameran Antarabangsa Chroy Changvar.
Pada sebelah malamnya pula Baginda berdua berangkat menyaksikan perlawanan akhir bola sepak wanita di antara Vietnam dengan Myanmar yang dimenangi oleh Vietnam 2-0 yang dijaringkan oleh kapten, Huỳnh Như dan pemain muda Nguyễn Thị Thanh Nhã di Stadium Olimpik Cambodia.
Sepanjang berada di Phnom Penh, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertemu dengan
Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam; Dato Seri Chaiyapak Siriwat, Ketua Pegawai Eksekutif Southeast Asian Games Federation; dan juga Tomas Eriksson, Presiden Persekutuan Floor Ball Antarabangsa. -SM
BACA Sigma anjurkan Temasya Pendekar Maya 2021