Nasionalpilihan

Pemandu Forklift menang BMW RM220,000 Shop&Win Freeport A’Famosa Outlet

Selepas tiga hari keretanya terbabit dalam kemalangan di Sungai Udang hingga memaksa seorang lelaki meminjam kereta bapa mertuanya untuk pergi kerja.

Namun malam tadi tuah datang bergolek buat Mohamad Amirul Izad Ishak, 29, dari Simpang Ampat dekat sini apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah Ulang Tahun Ketujuh Shop&Win anjuran Freeport A’Famosa Outlet.

Dia yang bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah kilang menjadi pembeli paling bertuah apabila membawa pulang kereta mewah BMW 218i M Sport bernilai RM220,000.

Mohamad Amirul Izad Ishak dan Nur Amira Noor Sham menunjukkan isyarat bagus di hadapan kereta BMW 218i M Sport yang dimenangi di Freeport A’Famosa Outlet, Alor Gajah, Melaka.

“Ini satu kejutan paling besar dalam hidup saya. Sudahlah tiga hari lalu kereta saya berada di bengkel selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Udang.

“Tiba-tiba malam tadi, nama saya diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah sekali gus memenangi kereta BMW 218i M Sport.

Related Articles

“Ini mungkin sudah tuah saya dan tidak menyangka sama sekali hanya dengan satu resit pembelian saya berbelanja di Freeport A’Famosa Outlet bernilai RM600 saya terima kereta mewah bernilai RM220,000,” ujarnya ditemui pada majlis cabutan dan penyampaian hadiah di sini malam tadi.

Majlis penyampaian kereta tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan A’Famosa Resort, Datuk Alex Lau. Hadir sama Pengurus Operasi, Jimmy Ho.

Mohamad Amirul adalah salah seorang daripada 9,000 penyertaan yang layak menyertai cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM350,000 menawarkan kereta BMW 218i M Sport sejak diadakan November tahun lalu.

Menurutnya, dia berada di pusat belah itu secara kebetulan membeli barangan selepas mendapat bonus daripada tempat kerjanya dan tidak menyangka ada cabutan bertuah untuk memilih pemenang kereta mewah itu.

“Bila dengar ada cabutan itu, saya pun pergi dan duduk tidak jauh daripada tempat cabutan diadakan. Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang saya terus mengangkat tangan,” ujarnya yang sudah berkahwin sejak tiga tahun lalu.

Ditanya kereta itu akan digunakan atau sebaliknya, Mohamad Amirul berkata: “Saya belum fikirkan lagi. Saya perlukan masa untuk berbincang dengan isteri.”

Isteri Mohamad Amirul, Nur Amira Noor Sham, 27, berkata, dia tidak menyangka rezeki suaminya diumumkan sebagai pemenang dan memenangi hadiah sebuah kereta BMW 218i M Sport.

“Saya sendiri sangat teruja dengan tuah suami saya. Alhamdulillah rupanya tidak rugi berbelanja RM600 dapat hadiah kereta bernilai RM220,000,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Freeport A’Famosa Outlet, Jimmy Ho berkata, cabutan bertuah yang dianjurkan menawarkan hadiah sebuah kereta adalah kali kedua diadakan.

“Memandangkan sambutan yang amat mengalakkan kami akan teruskan untuk tahun ketiga dan menawarkan hadiah kereta mewah setanding dengan BMW 218i M Sport,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button