PEMANDU e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang terbabit dalam kontrovesiti dakwaan dipukul pengawal peribadi orang kenamaan diambil keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Memetik laporan Sinar Harian, Keterangan Ong Ing Keong, 46, dijalankan tiga pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dengan ditemani jurubahasa dan peguam Lawyers For Liberty (LFL) iaitu Latheefa Koya dan N Surendran.
Menurut Surendran, sesi itu melibatkan dua perkara iaitu ketika di lokasi kejadian dan ketika mangsa membuat laporan pertama dan kedua di Balai Polis Brickfields pada hari sama.
“Antara yang direkod keterangan melibatkan situasi di lokasi kejadian termasuk pelaku terbabit dan kejadian keseluruhan yang berlaku.
“Selain itu, rakaman keterangan dijalankan turut berkaitan ketika laporan polis yang pertama dibuat ketika petang hari kejadian dan selepas dia diminta untuk hadir pada malam hari untuk menarik laporan polis berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.
Menurut beliau, mereka hanya memberi maklumat bahawa individu terbabit kemungkinan merupakan anggota polis.
“Itu sahaja, butiran lain kami tidak ada,’ katanya.
Menurut Surendran. Ing Keong mungkin akan dipanggil semula oleh pihak polis memandangkan siasatan masih berjalan di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
“Manakala siasatan tatatertib dilakukan oleh JIPS,” katanya.
Sehubungan itu, Surendran menggesa agar kerajaan melihat semula penugasan kawalan pengiring melibatkan orang kenamaan.
“Tanggungjawab ketika menjalankan tugas (pengiring) bukan sekadar menjaga keselamatan individu kenamaan malah harus mementingkan keselamatan masyarakat.
“Selain itu, aspek lain perlu dilihat adalah dengan menempatkan jurubahasa bagi OKU bagi memudahkan laporan polis dibuat,” katanya. – SM