Nasional

Pemain utama media kongsi “rahsia” untuk terus relevan dalam revolusi industri 4.0

Buat pertama kali para pemain media bakal berkongsi “rahsia” bagaimana mereka menghapi dan memastikan kelangsungan ketika berdepan dengan revolusi industri 4.0.
Forum Media Nasional, anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang merupakan salah satu pengisian Hari Wartawan Nasional 2022 di Melaka pada 29 Mei ini akan mengupas isu-isu yang akan mendepani bidang kewartawanan pada era Revolusi Industri Keempat atau IR4.0 yang mula melanda dunia muktakhir ini.

Forum media ini dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat HAWANA 2022 yang diterajui oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama dan dianggotai oleh organisasi media di negara ini.

Forum bertemakan Kewartawanan dan Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang itu akan menampilkan enam orang tokoh media yang tidak asing lagi di negara ini.

Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) MPI, Puan Norlida Jamian berkata, ahli-ahli panel itu akan berkongsi pengalaman mengenai model perniagaan media yang sesuai demi kelangsungan dunia kewartawanan setelah berlakunya pendigitalan, kemunculan artificial intelligence dan penggunaan robotik dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuk bidang kewartawanan.”

“Ahli-ahli panel forum telah kami pilih untuk mencerminkan ekosistem semasa landskap media di Malaysia yang mewakili kewartawanan alam nyata dan alam maya. Sekarang bukan masa untuk kita bernostalgia dengan kegemilangan kewartawanan silam tetapi sebaliknya mempersiapkan organisasi dengan ilmu dan pengetahuan bagi kelangsungan masa depannya,” tegas beliau.

Enam orang ahli panel itu ialah Tan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Negara; Encik Azlan Jaafar, Pengarang Kumpulan Media Mulia, penerbit dua akhbar Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!, Encik Jasbant Singh Pratap Singh, Pengarah Editorial Free Malaysia Today; mantan Ketua Pengarang/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Encik Premesh Chandran dan Hayati Dzulkifli, wartawan kanan Daily Express, Kota Kinabalu Sabah.

Tidak ketinggalan, seorang ahli akademik tersohor bidang kewartawanan, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican juga diundang untuk menjadi ahli panel.

Dua orang wartawan berpengalaman iaitu Datuk Seri A. Jalil Hamid dan Datuk Dr. Chamil Wariya akan bertindak sebagai moderator forum dua sesi tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa dijangka akan menyampaikan ucapan penutup manakala Pengerusi HAWANA 2022 yang juga Presiden Ikatan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), Datuk Mokhtar Hussain akan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sebanyak 80 orang peserta terdiri daripada ketua-ketua pengarang, para pengarang, para wartawan, para pelajar kewartawanan telah mendaftarkan diri untuk mengikuti Forum Media HAWANA 2022 yang bakal berlangsung pada sebelah pagi di sebuah hotel di Bandar Raya Bersejarah Melaka.

(Visited 531 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button